Simpang Kuala Lokaliti Baharu Kes Chikungunya

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan lokaliti baharu penyakit chikungunya iaitu di Simpang Kuala di sini dengan empat pesakit disahkan positif penyakit itu.

Pertambahan empat kes tersebut menjadi jumlah keseluruhan pesakit positif chikungunya di kawasan rumah kedai berhampiran City Plaza di sini dan lokasi baharu seramai 19 orang.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan penyakit disyaki chikungunya dalam kalangan peniaga dan penduduk di kawasan baharu di Simpang Kuala kira-kira pukul 10 malam, kelmarin.

“Siasatan telah dijalankan dengan segera pada keesokan hari oleh anggota Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar.

“Hasil ujian darah yang dilakukan mendapati empat individu berusia antara 39 hingga 60 tahun disahkan positif chikungunya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, PKD Kota Setar masih menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada terdapat hubung kait wabak antara deretan kedai berdekatan City Plaza dan kluster chikungunya di Simpang Kuala.

“Kesemua 19 pesakit yang disahkan positif penyakit tersebut berada dalam keadaan stabil,” ujarnya.

Menurut Norhizan, aktiviti kawalan vektor telah dijalankan di kedua-dua lokaliti berkenaan.

“Sebanyak 453 premis di sekitar City Plaza telah diperiksa bermula Ahad lalu hingga semalam dengan sebanyak 26 bekas positif pembiakan nyamuk ditemui.

“Kita bertindak mengeluarkan 15 kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM7,500, kepada pemilik premis yang membiak aedes,” jelasnya.

Sementara bagi lokasi baharu, beliau berkata, sebanyak 24 premis telah diperiksa dan enam bekas ditemui dengan pembiakan positif.

“Sebanyak empat kompaun telah dikeluarkan di bawah APSPP 1975 dengan nilai RM2,000 dan aktiviti kawalan vektorakan diteruskan dengan semburan kabus di sekitar 200 meter dari kawasan terlibat,” tambahnya.