Sikap Rasis DAP Ketara Lepas Tawan Putrajaya – PAS

BONGKAR… Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang cuba keliru rakyat apabila buat pelbagai dakwaan, demi tutup sikap rasis dan kelemahan parti itu dalam kerajaan, terutama babitkan anaknya, Lim Guan Eng.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, rasa kurang senang rakyat terhadap sikap rasis dan superior DAP semakin meningkat, berikutan banyak tindakan politik yang dilakukan sengaja mencetuskan sentimen perkauman.

Malah katanya, sikap rasis DAP semakin ketara setelah menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tahun lalu dan menduduki beberapa jawatan strategik serta kementerian penting dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Umum mengetahui bagaimana sikap DAP yang mengaku kononnya demokratik, sebaliknya mereka lantang sekat hak dan kebebasan PAS untuk julang agenda Islam yang diperjuangkan parti tersebut selama ini.

“Contohnya, ketika PAS mahu pinda Akta 355 dan bantahan terhadap pengharaman arak. Perkara itu bawa kepada campur tangan DAP dalam pemilihan jawatan PAS pada tahun 2015,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan media sebelum ini bahawa Kit Siang mendakwa, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi kepimpinan PAS bertemunya untuk bincang soal Perdana Menteri pada PRU ke-13 lepas.

Kit Siang mendakwa pemimpin PAS mahu berbincang mengenai calon Perdana Menteri gabungan pembangkang pada ketika itu, Pakatan Rakyat, kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap parti sebagai tidak sesuai.

Dakwanya, pemimpin PAS agak licik kerana tidak mencadangkan Abdul Hadi harus menjadi calon Perdana Menteri, dan secara diplomatik mencadangkan calon yang sesuai adalah veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menempelak dakwaan jahat itu, Nasrudin berkata, tindakan Kit Siang sejak akhir-akhir sebenarnya adalah untuk tutup segala isu utama yang tonjolkan DAP memang bersikap rasis dan autokratik.

“PAS tidak pernah menamakan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu sebagai calon Perdana Menteri. Kit Siang menipu dan buat kesimpulan sendiri berdasarkan situasi genting ketika PRU ke-13,” katanya.