Sikap Pemandu Bas Ekspres Mara Liner Undang Risiko

KUALA LUMPUR – Sikap ambil mudah dan tidak bertanggungjawab seorang pemandu bas ekspres Mara Liner yang melonggokkan beg-beg penumpang di…

KUALA LUMPUR – Sikap ambil mudah dan tidak bertanggungjawab seorang pemandu bas ekspres Mara Liner yang melonggokkan beg-beg penumpang di pintu masuk dan laluan antara tempat duduk di dalam bas mengundang risiko dan membahayakan nyawa para penumpang sekiranya berlaku kemalangan.

Salah seorang daripada penumpang bas berkenaan menghubungi wartawan Utusan Online hari ini berkata, insiden itu berlaku malam tadi ketika beliau mahu menaiki bas ekspres berkenaan untuk ke Kota Bharu, Kelantan.

Menurut pengadu, Syed Hashim Syed Ali, beliau merasa tidak senang hati apabila melihat beg-beg penumpang diletakkan di pintu masuk bas berkenaan atas alasan, ruang menyimpan bagasi dipenuhi dengan kotak-kotak yang perlu dibawa ke Kota Bharu.

“Tindakan pemandu bas ini sama sekali tidak betul dan dia mengundang risiko kepada para penumpang bas ekspres yang bukan sahaja terdiri daripada orang dewasa tetapi juga kanak-kanak.

“Apabila saya mempersoalkan tindakan si pemandu mengapa dia melonggokkan beg-beg penumpang termasuk beg saya di hadapan pintu bas dan lorong antara tempat duduk penumpang, jawapan yang diberikannya memang tidak boleh diterima pakai,” kata Syed Hashim ketika menghubungi Utusan Online, sebentar tadi.

Syed Hashim berkata, mendengarkan jawapan pemandu bas yang tidak logik itu, secara spontan beliau memberitahu pemandu bas berkenaan bahawa beliau akan membuat aduan secara rasmi kepada pihak penguatkuasa yang berkenaan sekiranya beg-beg yang dilonggokkan itu, tidak dialih dan disimpan di tempat yang betul.

“Sejurus pemandu bas itu mendengar yang saya akan membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa, dia mengalihkan beg-beg penumpang ke bahagian atas bas dua tingkat ini dan diletakkannya pula di atas tempat duduk yang kosong.

“Sekali lagi saya menyatakan bahawa tindakan ini tidak betul kerana jika berlaku kemalangan dalam perjalanan dari stesen terminal bas (TBS) ke destinasi yang ingin dituju, beg-beg ini akan menghempap para penumpang dan penumpang juga tidak boleh keluar untuk menyelamatkan diri kerana terhalang oleh beg-beg ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak penguatkuasa yang berkenaan perlu memantau keadaan di Stesen TBS yang menawarkan perkhidmatan bas ekspres kepada orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke destinasi yang ingin dituju.

“Saya juga ingin memaklumkan di sini, pemandu bas yang berkenaan juga telah meminta pembayaran wang tambahan berjumlah RM50 daripada penumpang-penumpang warga asing yang menaiki bas berkenaan malam tadi.

“Alasan pemandu bas itu ialah penumpang warga asing itu membawa beg yang banyak sehingga menyebabkan tempat simpangan beg yang dikhaskan di bahagian bawah bas ekspres, tidak dapat menampung jumlah bagasi,” kata Syed Hashim.

Sebagai pengguna perkhidmatan bas ekspress, Syed Hisham mahu pihak Kementerian Pengangkutan dan agensi yang berkenaan mengambil tindakan tegas ke atas pemandu dan syarikat pengendali bas-bas ekspres yang bersikap sambil lewa dan berkompromi terhadap keselamatan penumpang. – UTUSAN ONLINE