Sifar Penularan Tempatan, 4 Kes Import Covid-19

19

MALAYSIA kembali mencatat sifar kes penularan tempatan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, hanya empat kes baharu yang dilaporkan iaitu kes import dalam kalangan warga negara Malaysia dan bukan warga negara yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara adalah 8,729 kes.

“Empat kes baharu itu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu tiga warga negara Malaysia dan satu bukan warga negara,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih jangkitan Covid-19 adalah 8,524 kes atau 97.7 peratus daripada keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 83 kes. Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan.

“Jumlah kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah enam kes dengan dua daripadanya diberikan bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, tiada pertambahan kes kematian Covid-19 dilaporkan hari ini kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) menjadikan jumlah kumulatif kekal 122 kes atau 1.39 peratus daripada keseluruhan kes. – myMetro Online