Sidang Dewan Rakyat Pada 18 Mei Atas Nasihat KKM

PUTRAJAYA – Keputusan untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat selama sehari pada 18 Mei nanti diputuskan di dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu dicapai selepas mendapat nasihat daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Itu kena tanya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sebab pengesahan daripada pihak mereka. Keputusan ini (sidang Dewan Rakyat) dibuat oleh Kabinet adalah terdiri daripada Menteri Kesihatan.

“Jadi kena tanya Menteri Kesihatan,” katanya selepas mewakili Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menyampaikan sumbangan 2 juta sarung tangan perubatan kepada KKM, hari ini.

Turut hadir Dr Adham Baba, dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516

Takiyuddin berkata, KKM dipertanggungjawabkan untuk menangani penularan COVID-19 dan segala saranan kementerian itu adalah berdasarkan kepada situasi terkini wabak berkenaan.

“Kita putuskan (sesuatu perkara) berdasarkan kepada senario terkini. Sebagai contoh dalam isu COVID-19, menteri yang mempunyai kuasa ialah Menteri Kesihatan. Jadi semua aktiviti kerajaan mesti berdasarkan kepada saranan Menteri Kesihatan,” katanya.

Sebelum ini veteran DAP, Lim Kit Siang meminta KKM menjelaskan sama ada keputusan mengadakan sidang Dewan Rakyat yang akan dilakukan sehari itu dibuat atas perintah atau nasihat kementerian terbabit.

Malah beliau turut bertanya sama ada cadangan persidangan satu hari pada 18 Mei itu hanya untuk mematuhi syarat dalam perlembagaan bahawa Parlimen mesti bersidang setiap enam bulan sekali.

Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata kerajaan mengumumkan sidang Dewan Rakyat diputuskan pada 18 Mei ini selepas mengambil kira keselamatan semua pihak yang terbabit.

Menurutnya, kerajaan membuat keputusan mengenai persidangan itu berdasarkan perkembangan semasa, khususnya dalam mengawal dan menamatkan ancaman wabak COVID-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani kesan jangka pendeknya.

Loading...