SIC Terima E-mel Petunjuk Kes Curi Di Litar Sepang

KUALA LUMPUR – Insiden kecurian di Litar Sepang semasa perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia pada Jumaat lalu mendapat petunjuk baharu melalui e-mel yang dihantar ke pusat khidmat pelanggan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Tanpa mendedahkan petunjuk tersebut, ​​​​​​​Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali berkata, maklumat itu sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

“Kita baru dapat sekurang-kurangnya dua petunjuk. Yang bagusnya ada individu menulis kepada pusat khidmat pelanggan SIC mengenai petunjuk itu.

“Kita sudah serah kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita di Litar Sepang, hari ini.

Insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat lalu antara jam 1 hingga 5 pagi dalam keadaan cuaca hujan lebat.

Antara paling terkesan dengan insiden tersebut ialah pasukan Angel Nieto Team yang menyaksikan beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap penyerap hentak dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 dicuri.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan ​​​​​​​melaporkan tiga pekerja syarikat keselamatan ditahan polis awal pagi Ahad bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian peralatan bernilai lebih RM200,000 pada penganjuran GP Motosikal Malaysia berakhir semalam.

Loading...