Sibuk Di Mahkamah, Najib Tak Mahu Jawatan Kerajaan

KUALA LUMPUR – Kesibukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhadapan dengan kesnya di mahkamah membuatkan beliau tidak terfikir untuk menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan ketika ini.

Dalam satu temu bual bersama Reuters, Najib berkata, perbicaraan tersebut turut merenggangkan hubungannya dengan keluarga termasuk isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akibat kekangan masa.

Rosmah juga ketika ini sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah.

Selain di mahkamah, Najib juga banyak menghabiskan masa untuk bertemu rakyat di seluruh Malaysia dengan personaliti yang lebih merendah diri berbanding ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dahulu.

Perdana Menteri keenam ini juga sibuk di media sosial yang mana beliau merupakan ahli politik Malaysia yang mempunyai pengikut teramai.

“Minggu lepas akaun Facebook saya berjaya menarik 20 juta pengunjung.

“Selalunya saya menerima 9.5 juta pengunjung setiap minggu dan dari segi likes, saya cuma memerlukan lagi 6,000 untuk mencecah angka empat juta.

“Ini adalah angka-angka berkaitan media sosial saya tetapi saya tidaklah mahu membesar-besarkan perkara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menafikan tuduhan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan beliau terlibat secara langsung dengan perjanjian antara UMNO dan sebahagian sekutu bekas Perdana Menteri ketujuh itu minggu lepas sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Jelasnya, beliau hanya diberi penerangan dan nasihat terhadap terma-terma dalam perjanjian berkenaan.

Mahathir sebelum ini menuduh Najib dan UMNO sebagai pencetus kepada peralihan kerajaan bagi membolehkan beliau terlepas daripada perbicaraan di mahkamah.

Ujar Najib, beliau hanya mengharapkan perbicaraan yang lebih adil selepas berlakunya perubahan kerajaan ini.

“Saya menjangkakan persekitaran yang lebih kondusif ke arah perbicaraan yang adil.

“Saya tidak memberi sebarang gambaran atau petunjuk kerana perbicaraan masih belum selesai tetapi saya berharap dapat menjalani satu perbicaraan yang adil,” katanya sambil tidak menolak pertuduhan ke atasnya hanyalah bermotifkan politik.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Perdana Menteri baharu yang juga bekas Timbalan beliau sebelum dipecat pada 2015, Najib berkata, mereka masih belum bercakap sejak pelantikan Muhyiddin pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun Najib berharap hubungan mereka berdua boleh dipulihkan.

“Saya harap persengketaan itu dapat dilupakan,” katanya sambil mengambil contoh perikatan, Mahathir dan musuh tradisinya Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga gabungan parti kedua-duanya berjaya memenangi pilihan raya 2018.

“Selain memenjarakan Anwar, Mahathir juga selama bertahun-tahun mengeluarkan kenyataan buruk terhadap karakter tetapi itu tidak menghalang mereka untuk bersatu,” tambahnya.

Menyentuh mengenai skandal 1MDB, Najib menjelaskan, beliau telah dikelirukan oleh ahli perniagaan Malaysia Jho Low dan pegawai-pegawai kanan syarikat tersebut.

Tegasnya, beliau akan membersihkan nama baiknya di mahkamah.

“Saya tidak mahu manipulasi atau memberi tekanan kepada hakim atas alasan politik dan dari segi kekukuhan bukti, saya sebenarnya sangat gembira untuk mengikuti proses mahkamah,” katanya ketika ditemubual di kediamannya dekat sini.

Najib turut mengkritik bank pelaburan Goldman Sachs yang sepatutnya menjadi sebahagian sistem untuk melindungi kepentingan rakyat Malaysia.

Goldman Sachs bagaimanapun tidak memberi respon segera terhadap kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette

Loading...