Siasatan Telus Kemalangan Libatkan Anak Eizlan – Polis

SABAK BERNAM – Setiap siasatan termasuk melibatkan kes kemalangan dijalankan secara teliti dan telus mengikut prosedur siasatan yang telah ditetapkan, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon. 

Menurutnya, ini termasuk dalam dakwaan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof yang mendakwa pihak polis tidak telus dalam siasatan kemalangan dan menafikan anak pelakon tersebut terlibat kemalangan di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar pada 11 Julai lalu. 

Katanya, kenyataan awal dikeluarkan sebelum ini menyatakan tiada anak pelakon terlibat merupakan hasil siasatan awal yang dijalankan berdasarkan laporan polis selepas ditanya oleh pengamal media. 

“Kenyataan itu juga hasil temuduga mangsa-mangsa yang terlibat dan saksi yang dikesan semasa berlakunya kemalangan itu. 

“Siasatan masih belum selesai dan diteruskan untuk mengesan jika ada mangsa lain yang terlibat serta mengesan lain-lain saksi bebas dalam kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau menambah, hasil siasatan lanjut dijalankan pihaknya yang mendapati ada seorang mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Ujar beliau, Seorang kanak-kanak yang telah dibawa untuk rawatan di Hospital Sabak Bernam (Hospital Tengku Ampuan Jemaah) bernama Zareef Idris Yusof, 9, yang kemudiannya dikenalpasti sebagai anak Eizlan. 

“Justeru, kertas siasatan sedang disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Terdahulu, Eizlan dalam satu kenyataan akhbar di Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Selasa berharap, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjelaskan semula kejadian kemalangan itu bagi membersihkan nama anaknya, susulan kenyataan diberikan.

Kenyataan polis sebelum ini, memaklumkan kemalangan itu membabitkan kereta Toyota Vios dinaiki dua wanita kru penggambaran berusia 23 dan 43 tahun serta kereta Proton Wira dipandu seorang tukang rumah lelaki berusia 48 tahun tanpa melibatkan Zareef. – K! ONLINE

Loading...