Siasatan Rasuah Jam Tangan Selesai, Tunggu Maklum Balas AG

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung siasatan terhadap seorang setiausaha politik kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya dalam satu kenyataan berkata, SPRM telah menyiapkan siasatan dan menghantar laporan itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 10 Julai lalu untuk tindakan lanjut.

“Berhubung siasatan terhadap seorang setiausaha politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan mewah, SPRM telah menyiapkan siasatan dan kini menunggu maklum balas Jabatan Peguam Negara,” katanya di sini hari.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Liew Vui Keong di Dewan Negara berkata, SPRM telah melepaskan pegawai kanan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani daripada siasatan menerima suapan jam mewah RM28,000 daripada sebuah syarikat pemaju.

Vui Keong berkata, setiausaha politik kepada Datuk Salahuddin Ayub itu sebaliknya membeli sendiri jam mewah tersebut.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan setiausaha politik itu direman selama tiga hari dari 2 hingga 4 April lalu selepas disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan jenama Omega. – K! ONLINE 

Loading...