Siasatan Kemusnahan Air Terjun Tanjung Batu Bermula

MANJUNG – Kerja penilaian dan siasatan mula dijalankan terhadap kemusnahan alam sekitar di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di sini yang berpunca daripada pembangunan projek kuari.

Siasatan dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sejak isu berkenaan mendapat pendedahan meluas media pada Ahad lepas, kerajaan negeri mengarahkan kedua-dua jabatan itu menggerakkan kerja-kerja pemantauan dan penilaian segera.

Sekumpulan pegawai Jabatan Perhutanan dan JAS turun padang bagi meninjau kemusnahan berlaku termasuk menyiasat aspek pelanggaran syarat lesen dan spesifikasi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, penilaian mendapati, berlaku pelanggaran syarat EIA apabila syarikat terlibat tidak menyediakan sistem kawalan sewajarnya.

Menurutnya, pelaksanaan projek kuari di situ tidak mematuhi dan tidak memenuhi komitmen dibuat pemaju seperti termaktub dalam syarat kelulusan EIA yang dikeluarkan pada 2017 lalu.

“Pegawai kita di lapangan menilai dari segi pelaksanaan kerja apakah ada kawalan sepatutnya, tetapi dapatan yang kita perolehi memang ia tidak mencukupi dan difahamkan di kawasan itu juga berlaku pencerobohan rizab sungai.

“Walaupun sungai itu berada dalam kawasan pembangunan mereka, syarikat masih perlu mengekalkan rizab sungai dengan mengamalkan kawalan kendalian sisa (hutan) agar tidak berlaku impak seperti yang kita lihat hari ini,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, JAS telah mengambil tindakan di atas pelanggaran syarat-syarat berkenaan kepada syarikat terlibat di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, JAS juga mengeluarkan notis arahan agar syarikat mengambil langkah penambah baikan dan kerja baik pulih terutama pembersihan di kawasan air terjun serta tapak kuari itu sendiri.

“Kerja baik pulih ini perlu dilakukan segera kerana dibimbangi memberi kesan terhadap kualiti air sungai, namun dalam hal ini syarikat perlu mempunyai ‘kompeten person’ atau individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk pemantauan.

β€œBuat masa ini, siasatan masih dijalankan dan sebaik siasatan sudah dilengkapkan, sudah tentulah kesalahan-kesalahan ini kita akan bawa ke tindakan perundangan,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Selasa mendapati kerja-kerja pembersihan awal telah dilakukan di kawasan yang terjejas sekitar 10 peratus.

Bagaimanapun, sisa pokok dan kayu masih banyak kelihatan di kawasan sekitar air terjun.

Dalam pada itu, Jabatan Perhutanan Perak juga telah menggantung sementara permit dan lesen syarikat kuari terlibat.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, tindakan itu bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dilakukan.

“Kita telah mengarahkan pegawai untuk menahan lesen dan permit pemaju untuk kita lakukan siasatan secara lebih menyeluruh sama ada pelesen lakukan kesalahan atau melanggar syarat lesen atau syarat EIA.

“Jika didapati bersalah, kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang telah peruntukkan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya seperti dilaporkan media pada Isnin. – Sinar Harian