Siasat Kes Kematian Adib Tanpa Campur Tangan Politik

GERAKAN Pembela Ummah (Ummah) mahu siasatan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dijalankan dengan telus agar tidak wujud campur tangan politik, kata pengerusinya Aminuddin Yahaya.

“Kerajaan perlu ambil tindakan segera dan tidak melengah-lengahkan (proses perundangan) berhubung kes ini kerana kita tidak mahu wujudnya unsur ubah suai laporan (kematian Muhammad Adib) atau (cubaan) melindungi mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan UMMAH menganjurkan perhimpunan di seluruh negara jika wujud salah laku dalam pengendalian siasatan itu.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dipercayai dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lepas dan anggota bomba itu disahkan meninggal dunia pada 18 Disember di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Pada 10 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis telah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian Muhammad Adib dan kertas siasatan itu telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA

Loading...