“Siapa Nak Jawab, Tunggu Tahun Depan” – Agong

KUALA LUMPUR – Suasana di dalam Dewan Rakyat menjadi gamat seketika sewaktu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selesai menyampaikan Titah Diraja.

Ia selepas baginda secara bersahaja bertitah bahawa pantun yang disampaikan boleh dijawab pada tahun depan.

“Kalau siapa nak jawab, tunggu tahun depan. Terima kasih semua, selamat bersidang,” titah baginda.

Ia diikuti dengan gelak tawa dan tepukan ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengakhiri titah dengan pantun tiga rangkap:

“Dari Segamat ke Kota Tinggi,
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Pada Yang Berhormat, ikhlaslah berbakti,
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.

“Kalau memandang langit yang tinggi,
Jangan lupa rumput di bawah;
Berkerjalah Yang Berhormat sepenuh hati,
Martabatkan negara kembali bermaruah.

“Rempah halia digaul, diuli,
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi,
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.”

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 itu kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah.

Persidangan kali ini dijangka memberi tumpuan kepada isu pemulihan negara susulan pandemik Covid-19 dan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selain usaha transformasi Parlimen.

Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 17 hari dan berakhir pada 12 Oktober manakala Dewan Negara menyambung persidangan dari 4 hingga 26 Oktober depan. – myMetro Online