Siapa Kata Zahirah Lemah-Lembut?

KUALA LUMPUR – Jika anda beranggapan Zahirah Macwilson gadis lemah-lembut, nampaknya pandangan itu silap. Akui aktres jelita ini, dia sebenarnya…

KUALA LUMPUR – Jika anda beranggapan Zahirah Macwilson gadis lemah-lembut, nampaknya pandangan itu silap.

Akui aktres jelita ini, dia sebenarnya lasak malah pernah aktif dalam pasukan bola tampar dan ragbi ketika menuntut di sekolah menengah.

Sehubungan itu, tawaran pengarah Ghaz Abu Bakar untuk membintangi filem aksi komedi, Bulan dan Pria Terhebat, cukup mengujakan Zahirah.

“Selama ini orang mungkin ingat saya jenis lemah lembut. Jangan terkejut kalau saya beritahu, dulu ketika di sekolah menengah, saya aktif bermain bola tampar dan ragbi.

“Hanya selepas pulang ke Malaysia saya tinggalkan semua aktiviti itu… Dahulu, tubuh saya sedikit gempal,” katanya kepada BH Online.

Zahirah berkata, selepas lama menanti, dia teruja diberi peluang melakonkan watak gadis lasak bernama Bulan dalam filem Bulan dan Pria Terhebat.

“Sebelum ini, ada tawaran berlakon filem. Bagaimanapun, saya tolak kerana belum bersedia.

“Saya memang teringin berlakon dalam filem aksi sebagai produk sulung. Alhamdulillah, impian itu termakbul.

“Ternyata 2018 yang bakal berlabuh memberi kenangan indah… Bulan adalah watak idaman yang ditunggu-tunggu selama ini,” katanya yang mahu membuktikan dirinya mampu melakonkan watak berat dalam filem terbabit.

Mengenai hubungannya dengan Aiman Hakim Redza, anak kepada pelakon yang bekas pembaca berita TV3, Zainol Johari Macwilson ini menyifatkan Aiman jejaka terbaik pernah dikenali.

“Kami ibarat masing-masing temui insan terbaik. Seperti Aiman, saya juga jujur dalam hubungan ini,” ulas Zahirah ringkas.

Episod percintaan pasangan ini mula dihidu apabila masing-masing berkongsi gambar yang sama di laman sosial.

Aiman terlebih dahulu memuat naik foto mereka berdua bersama catatan yang seolah-olah memberi bayangan antara dia dan Zahirah sedang menjalin hubungan mesra.

Beberapa jam selepas itu, Zahirah yang popular menerusi drama Jangan Benci Cintaku pula memuat naik foto yang sama dengan catatan lebih ringkas berbunyi:

“Kini hingga selamanya, insya-Allah.”

Pasangan itu juga tidak lagi menyembunyikan kemesraan mereka apabila mula tampil berdua di khalayak seperti seperti yang dilihat di majlis resepsi perkahwinan teman baik Zahirah, Sasqia Dahuri dan Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan di ibu negara, baru-baru ini. – BH Online