Siapa Benarkan Aidil, Iyad Pilih Tajuk Debat?

KUALA LUMPUR – Pihak penganjur Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 dipersoal mengapa mendesak pelajar menghujahkan mengenai kecacatan dan kekurangan al-Quran dalam pertandingan itu.

Malah, mereka juga ditanya mengapa memaksa pelajar menulis semula kitab suci umat Islam itu dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

Sedangkan, peserta adalah dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 yang baru berusia 13 hingga 15 tahun, kata penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff.

“Soalnya sekarang ialah mengapa ketua-ketua juri beragama Islam yang bernama Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal, boleh memutuskan perkara ini sebagai tajuk debat,” tanya beliau lagi.

Sedangkan, tegas Kamarul Zaman, adalah satu dosa dalam Islam seperti mana Firman Allah dalam Surah al-Syu’ara’ Ayat 165-166.

“Soalnya sekarang ialah mengapa pihak penganjur Pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak Kali Ke-8 di SDAR, Seremban, pada 11-13 Oktober 2019 masih mahu memaksa para pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh seluruh Malaysia, yang baru berusia 13 hingga 15 tahun, yang menyertai pertandingan debat ini menghujahkan bahawa homoseksual bukanlah satu dosa dalam Islam?” soalnya.

Kamarul Zaman berkata, tindakan pihak penganjur memaksa para pendebat menulis semula al-Quran dan menghujahkan homoseksual bukanlah satu dosa dalam Islam adalah membabitkan persoalan akidah yang wajib dipandang serius oleh pihak berkuasa.

Katanya, Pengarah Bahagian Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan, Aidie Jantan yang menyempurnakan perasmian penutup pertandingan debat ini, sepatutnya membuat pemantauan yang rapi ke atas perjalanan pertandingan debat ini bagi memastikan sebarang agenda super liberal yang boleh menjejaskan keharmonian ummah dan negara tidak menyusup masuk.

Sehubungan itu, beliau mahu tindakan tegas ke atas perkara ini dibuat oleh pihak berkuasa bagi memastikan Malaysia Baru tidak terus tercemar dengan agenda super liberal begini. – MalaysiaGazette

Loading...