Si Doktor Mahu Bangkit Kembali Di Litar Sepang

SEPANG – Legenda MotoGP, Valentino Rossi berharap beliau mampu bangkit daripada perlumbaan yang mengecewakan di Litar Phillip Island minggu lepas…

SEPANG – Legenda MotoGP, Valentino Rossi berharap beliau mampu bangkit daripada perlumbaan yang mengecewakan di Litar Phillip Island minggu lepas untuk mencerahkan lagi peluangnya menamatkan kejohanan ini di tempat kedua, di Grand Prix Malaysia yang bermula esok.

Perlumbaan hujung minggu ini akan menguji stamina penunggang lebih daripada biasa kerana Grand Prix Motosikal Malaysia adalah tiga perlumbaan berturut-turut terakhir, dan rantau ini terkenal dengan suhu panas yang tinggi.

Bagaimanapun, Rossi tidak sabar untuk kembali beraksi hujung minggu ini di Litar Sepang, dan beliau mempunyai alasan tersendiri.

“Malangnya di Australia saya kehilangan mata yang berharga untuk kejohanan dan saya sungguh kecewa mengenainya, tetapi saya gembira untuk Maverick (Vinales) dan untuk Yamaha.

Sekarang kami perlu menumpukan kepada perlumbaan seberang laut ketiga dan terakhir di Sepang dand ianya penting untuk menikmati hujung minggu yang bagus,” katanya.

“Kami perlu terus bekerja keras kerana kami perlu berdaya saing di setiap perlumbaan. Sepang bukannya satu daripada litar kegemaran kami, tetapi kami akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan terbaik mungkin,” kata pelumba dari Itali berusia 39 tahun dalam laman sesawang rasmi pasukannya, Movistar Yamaha.

Rossi yang juga dikenali sebagai The Doctor” dalam kalangan peminatnya mempunyai kenangan manis di litar Malaysia apabila memenangi perlumbaan pada 2001, 2003, 2004, 2006, 2008 dan 2010.

Hujung minggu ini beliau berharap dapat mengutip lebih banyak mata untuk merapati kedudukan kedua kejohanan, yang mana beliau ketinggalan 15 mata daripada pelumba Ducati Andrea Dovizioso, yang kini di tangga kedua dengan 210 mata. – BERNAMA

Loading...