Sharnaaz Fail Nusyuz Terhadap Nabila

KUALA LUMPUR – Kemelut perkahwinan antara pelakon popular Sharnaaz Ahmad dan isterinya Noor Nabila Mohd. Noor memasuki episod baharu apabila pelakon itu memfailkan permohonan nusyuz. 

Tuntutan itu difailkan Sharnaaz, 34, atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad sebagai plaintif  terhadap Noor Nabila, 34, selaku defendan di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Terdahulu semasa prosiding, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah memfailkan permohonan itu pada 19 September lalu.

“Saman itu telah diserahkan kepada defendan (Noor Nabila) pada 22 September lalu,” katanya. 

Peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakli Noor Nabila kemudian mengesahkan menerima tuntutan permohonan daripada plaintif. 

Berikutan itu Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail menetapkan 6 November ini untuk sebutan semula kes. 

Sejurus selepas tamat prosiding, Sharnaaz ketika ditemui berkata, tindakannya memfailkan nusyuz itu kerana ingin memperbetulkan spekulasi yang sedang diperkatakan mengenai rumah tangganya. 

“Selain itu, saya juga mahu menyelesaikan isu antara dia (Noor Nabila) dengan cara yang terbaik tanpa perlu ada perbalahan,” katanya. 

Dalam prosiding sama, kedua-dua belah pihak juga masing-masing telah melantik wakil jawatankuasa pendamai (JKP). 

Sharnaaz telah melantik kakaknya iaitu Dr. Sherrini Ahmad Bazir Ahmad sebagai wakil jawatankuasa pendamai (JKP) manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya, Abdul Halim Khan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh yang sama bagi laporan JKP kedua-dua belah pihak. 

Pada 11 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini memerintahkan pasangan itu perlu menjalani proses JKP.

Pada 31 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan teka-teki  status perceraian pelakon Sharnaaz terjawab apabila, Noor Nabila mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya.

Spekulasi rumah tangga pelakon filem Juvana itu kembali hangat diperkatakan ramai selepas Nabila memuat naik gambar hadapan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menerusi Insta Storynya beberapa jam lalu.

Sekitar Februari lalu, rumah tangga pasangan yang berkahwin itu pernah dilanda kontroversi selepas mereka sering memuat naik kata-kata sedih dalam laman sosial Instagram masing-masing.

Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan itu semakin rancak menjadi bahan bualan selepas mereka didakwa sempat menghadiri kaunseling di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden yang kini berusia setahun. – K! ONLINE

Loading...