Shahruddin: Musnahkan Ratusan Senjata Pengganas

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

MENJADI pegawai muda sering menjadi saat mendebarkan bagi kebanyakan pegawai tentera baik dalam Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia mahupun Tentera Laut Diraja Malaysia.

Ini kerana, di saat usia itulah berbagai perkara harus dilalui oleh mereka untuk memantapkan diri dengan ilmu-ilmu ketenteraan dan budaya kerja organisasi.

Adakalanya beberapa kisah duka turut terpalit dalam kehidupan mereka meskipun saat-saat suka atau gembira lebih banyak mewarnai kehidupan seharian.

Walaupun begitu, tidak dinafikan bagi kebanyakan pegawai, saat dan pengalaman sewaktu bergelar pegawai mudalah yang sering dikenang dan terpahat kukuh dalam diari hidup mereka.

Lebih-lebih lagi kepada mereka yang pernah terlibat dalam berbagai operasi ketenteraan yang membawa kejayaan.

Begitu jugalah dengan Ketua Jurutera, Brigedier Jeneral Shahruddin Abdullah, 53, yang baru dilantik ke jawatan tersebut pada 1 April lalu.

Sepanjang berkhidmat dalam Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), berbagai peristiwa telah ditempuhnya terutama sewaktu berpangkat Leftenan Muda pada awal tahun 70-an.

Lantaran tugasnya sebagai ketua terup, berbagai operasi terpaksa disertainya di seluruh negara terutama untuk mencari dan memusnahkan jerangkap samar yang di pasang pengganas komunis.

“Saya tak ingat berapa banyak jerangkap samar yang telah saya musnahkan, tetapi memang banyak,’’ katanya mengatur bicara awal sambil memberitahu paling banyak jerangkap samar yang dimusnahkannya ialah ketika Ops Kota di Kedah dan Perak.

Selain mencari bahan letupan tersebut di hutan rimba bagi memudahkan anggota unit-unit infantri Tentera Darat memburu musuh, Shahruddin turut dikerah untuk memusnahkan bom-bom yang ditemui di beberapa buah bandar besar.

Bom-bom tersebut yang kebanyakannya adalah buatan sendiri dipercayai dipasang oleh pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang mahu mencetuskan kebimbangan dan huru-hara di dalam negara.

Antara bom yang pernah dimusnahkannya ialah yang ditemui di sekitar Kuala Lumpur, Ipoh, Butterworth dan Pulau Pinang.

“Masa itu, pasukan pemusnah bom polis belum ada. Jadi tentera seperti saya selalu diberi tanggungjawab untuk memusnahkannya.

“Satu ketika saya pernah dikerah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Ipoh untuk mencari dan memusnah bom dalam pesawat,’’ ujarnya sambil menyifatkan tahun 1971 hingga 1974 merupakan saat paling sibuk dalam hidupnya kerana terlibat dalam banyak operasi memusnahkan bom dan jerangkap samar.

Ops Sri Aman

Walaupun begitu, yang disifatkan sebagai detik paling bermakna dalam kerjayanya ialah apabila terlibat memusnahkan ratusan senjata api milik pengganas Parti Komunis Sarawak pada tahun 1973.

Tatkala itu, beliau bertugas di 1 Skuadron Jurutera di Sarawak dengan pangkat Leftenan serta terlibat dalam Ops Sri Aman.

Dalam operasi itu, beliau ditugaskan untuk membersihkan jerangkap samar di sekitar Sempadi dan Lundu yang sedang dikepung oleh pasukan tentera.

Kepungan itu dilakukan bertujuan untuk memudahkan operasi memburu pengganas komunis yang bersembunyi di sekitar kawasan berkenaan.

“Ditakdirkan satu ketika hujan lebat melanda kawasan tersebut sehingga menyebabkan musuh terperangkap di tempat persembunyian mereka dalam hutan lebih dua bulan.

Tanpa diduga pihak musuh yang diketuai oleh Bong Kee Chok telah mengambil keputusan untuk menyerah diri kerana tidak lagi tahan dengan kesengsaraan yang mereka alami. Bukan 10 atau 20 orang yang menyerah diri tetapi kesemua pengikutnya yang berjumlah 482 orang sehingga melumpuhkan terus perjuangan mereka.

“Lebih memburukkan keadaan ialah kepungan itu mengakibatkan mereka terputus bekalan makanan dan hubungan dengan pihak luar,’’ terang bapa kepada lima cahaya mata ini.

Disebabkan itu, tanpa diduga pihak musuh yang diketuai oleh Bong Kee Chok telah mengambil keputusan untuk menyerah diri kerana tidak lagi tahan dengan kesengsaraan yang mereka alami.

“Bukan 10 atau 20 orang yang menyerah diri tetapi kesemua pengikutnya yang berjumlah 482 orang sehingga melumpuhkan terus perjuangan mereka,’’ katanya.

Menurut Shahruddin, majlis rasmi penyerahan diri musuh tersebut telah diadakan di Kuching dan Sibu pada tahun 1973.

Sempena majlis itu juga, bekas-bekas pengganas komunis telah menyerahkan senjata api masing-masing seperti senapang patah, senapang buatan sendiri dan pistol.

Memandangkan jumlah senjata yang diserahkan adalah banyak, maka Shahruddin telah ditugaskan untuk memusnahkan kesemua senjata tersebut.

“Kesemua senjata itu saya musnahkan bersama terup saya di Bukit Siol, Kuching dengan disaksikan oleh beberapa pegawai kanan Tentera Darat.

“Selepas itu, kami dikerah pula untuk membersihkan kawasan Gunung Serapi dan Sempadi yang ditanam jerangkap samar oleh musuh,’’ kata pegawai berketurunan Cina ini.

Menurut Shahruddin, pengalaman tersebut cukup berharga baginya kerana ia adalah catatan sejarah yang amat besar untuk negara dan negeri Sarawak khususnya.

Ditambah pula pada masa itu beliau baru berusia 22 tahun dan dapat melihat wajah-wajah pengganas yang menjadi buruan termasuk kesemua pemimpin kanan mereka.

“Saya juga dapat menyaksikan beberapa pengganas wanita yang menangis semasa menyerahkan senjata setelah mendapati perjuangan mereka selama ini adalah sia-sia sahaja,’’ katanya yang berkhidmat selama sembilan bulan di Sarawak.

Sebelum bertugas di Sarawak, Shahruddin yang ditauliahkan ke dalam RAJD pada 10 0ktober 1969, pernah ditugaskan di Sabah.

Di Negeri Bawah Bayu itu, beliau terlibat membina penempatan dan kem-kem tentera di kawasan Ops Pasir.

Penempatan yang dibina ialah di Pulau Bangi, Pulau Jambongan, Pulau Libaran dan Pulau Tambisan di samping Kem Semporna, Kem Lahad Datu, Kem Silibukan, Kem Sandakan dan Kem Kudat.

Beliau juga terbabit dalam pembinaan jalan dari Silibukan ke Lamag.

Shahruddin hanya kembali ke Sarawak pada tahun 1993, kali ini sebagai Pemerintah Rejimen Jurutera 1 Divisyen dengan pangkat Leftenan Kolonel.

Pada tahun 1994, beliau bertukar ke ibu negara sebagai Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera.

Setahun kemudian iaitu mulai April 1995, beliau ditumpangkan ke Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai Pengurus Projek Gimnastik Artistik untuk membantu persiapan pasukan negara menghadapi Sukan Komanwel 1998.

Beliau bertugas sepenuh masa di MSN dan menjalinkan kerjasama erat dengan Persatuan Gimnastik Malaysia.

Tanggungjawabnya antara lain ialah merancang dan menyediakan gimnasium, sistem sukan gimnastik di negara ini dan menyediakan gimnas lelaki dan wanita untuk mewakili negara dalam berbagai pertandingan.

Sesuai dengan tugas barunya itu, Shahruddin telah mengikuti kursus kursus berkaitan gimnastik artistik dan sains sukan bagi membolehkan beliau memahami sukan tersebut dengan lebih mendalam sekali gus memudahkannya untuk menjalankan tugas dengan lancar.

“Tugas saya dan pegawai yang lain ialah untuk menyediakan seramai mungkin gimnas yang boleh diketengahkan untuk mewakili negara dengan mendapatkan khidmat jurulatih dari Rusia dan China.

“Ia menjadi tapak melahirkan ramai pelatih berbakat. Hasilnya, telah dituai sewaktu Sukan Komanwel 1998, dan Sukan SEA 2001 lalu,’’ ujar beliau.

Selain itu, hasil perancangan rapi juga telah membolehkan seorang gimnas negara terpilih untuk bertanding di Sukan Olimpik di Australia, dua tahun lalu.

Kejayaan paling membanggakannya pula ialah apabila gimnas negara berjaya menggondol 10 pingat emas gimnastik artistik pada temasya Sukan SEA 2001 yang berlangsung di ibu negara.

Sewaktu di MSN juga, beliau pernah dilantik sebagai pengurus pasukan negara ke pertandingan dan latihan gimnastik di Rusia, Ukraine, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Shahruddin ditumpangkan sehingga Februari 1997 dan selepas itu beliau mengikuti Kursus di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan berjaya menjadi Penuntut Akademik Terbaik.

Projek Gemas

Dua tahun kemudian, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Tim Projek Gemas dengan pangkat Kolonel.

Ia merupakan projek pembinaan kompleks Tentera Darat terbesar di negara ini dan menelan belanja RM850 juta.

Kompleks tersebut menempatkan beberapa kem unit Tentera Darat serta lapang sasar infantri, armor, artileri dan jurutera di samping untuk menembak rifel.

“Tugas ini memang mencabar tetapi saya merasa puas selepas melihat hasilnya,’’ ujar bekas pelajar Sekolah Menengah St. Andrew Muar ini.

Katanya, tugasan paling mencabar untuknya ketika menjawat jawatan itu ialah untuk menyelaraskan interaksi teknikal antara Tentera Darat dengan kontraktor utama.

“Tugas ini bukan mudah kerana saya perlu selarikan segala kehendak Tentera Darat dengan keupayaan kontraktor yang dilantik,’’ jelas beliau.

Bercerita lanjut tentang tanggungjawabnya itu, Shahruddin yang merupakan lulusan ijazah pertama yang dilantik sebagai Ketua Jurutera memberitahu, pembinaan projek itu bermula pada Julai 1999 dan kini telah 90 peratus siap.

Baki pembinaan tersebut katanya, dijangka selesai sepenuhnya pada September ini.

Selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam RAJD, Shahruddin boleh berbangga dengan pencapaiannya.

Selain pengalaman memusnahkan jerangkap samar dan bom, beliau kini turut memiliki sayap penerjunan, kelayakan sebagai penyelam kapal di samping bakal menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Strategi dan Pertahanan di Universiti Malaya pada hujung tahun ini. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.