Shafie Dipanggil SPRM Semula Beri Keterangan

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sekali lagi dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung satu lagi dakwaan kes rasuah.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong ketika dihubungi berkata Shafie, yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, tiba di pejabat SPRM kira-kira pukul 10 pagi sebelum meninggalkan pejabat itu kira-kira 2.30 petang.

“Benar (Shafie dipanggil SPRM sekali lagi). Shafie (ke pejabat SPRM) sebagai saksi sahaja untuk kes dakwaan rasuah yang lain. Beliau meninggalkan pejabat SPRM selepas memberi keterangan,” kata Junz Wong.

Sementara itu, peguam Shafie , Martin Tommy ketika dihubungi pula berkata Shafie hanya memberi keterangan sebagai saksi berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan projek di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Sabah.

Pada 27 Oktober lalu, Shafie dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan RM80,000 deposit selepas tempoh tahanan reman beliau oleh SPRM selama tujuh hari tamat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar di Sabah yang dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion. – BERNAMA

Loading...