Setiausaha Akhbar Zuraida Letak Jawatan

PUTRAJAYA – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahmad Soffian Mohd. Shariff telah meletak jawatan daripada tugas tersebut bermula hari ini.

Ahmad Soffian juga merupakan suami kepada peguam, Syazlin Mansor yang menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan ahli keluarga Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam inkues kematian anggota bomba itu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau telah menerima notis perletakan jawatan daripada Ahmad Soffian melalui aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, menurut Zuraida, beliau kini berada di luar negara atas beberapa urusan dan perkara tersebut akan diperhalusi apabila kembali ke tanah air.

“Ahmad Soffian merupakan seorang kakitangan yang berdedikasi dan sering memberi komitmen tinggi terhadap tugasan beliau.

“Bagaimanapun, secara prinsipnya saya menghormati keputusan yang diambil beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Soffian telah memaklumkan perletakan jawatannya melalui kiriman WhatApp kepada pihak media hari ini.

Menurutnya, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan hari ini dan akan bercuti selama sebulan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih diatas segala bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh tuan dan puan sepanjang saya berkhidmat.

“Diharap tuan dan puan dapat terus memberikan sokongan padu kepada KPKT sepertimana yang telah dizahirkan selama ini,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan episod inkues kematian Muhammad Adib memasuki cerita baharu selepas Syazlin menarik diri daripada inkues tersebut.

Peguam yang mewakili KPKT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga mangsa, Syazlin Mansor yang mengundur diri dipercayai akibat didesak pihak tertentu.

Difahamkan, Syazlin menerima sepucuk surat daripada satu pihak yang meminta peguam itu mengundurkan diri daripada meneruskan kes yang menjadi tumpuan negara itu baru-baru ini. – K! ONLINE

Loading...