Setiap Negara Patut Ada Kaukus Isu Pembebasan Palestin

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mencadangkan setiap negara menubuhkan kaukus berhubung isu pembebasan Palestin dalam sidang Parlimen masing-masing.

Beliau berkata, langkah itu dapat memastikan isu berkisar Palestin boleh diangkat melalui pelaksanaan tertentu.

“Kaukus Malaysia-Palestin ditubuhkan sejak 2018. Ia ditubuhkan semula atas permintaan orang Palestin di Malaysia. Ia amat berguna untuk wujudkan satu kumpulan begini.

“Tujuan kaukus ditubuhkan supaya isu Palestin dilihat dari kaca mata semua orang sama ada Islam atau bukan Islam.

“Di Malaysia, kita mempunyai kesempatan menukar paradigma ahli merentasi segenap parti, agama dan budaya. Bukan sahaja Islam tetapi kita ada pembabitan agama lain seperti Buddha dan Hindu. Itu kekuatan kita,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Liga Ahli Parlimen Al-Quds, hari ini.

Mengulas mengenai langkah selanjutnya hasil daripada persidangan yang berlangsung hari ini, Mohamad Ariff berkata, banyak perkara boleh dilakukan seperti sebaran laporan.

Beliau berkata, laporan itu boleh digunakan untuk rujukan Parlimen dan juga boleh disebarkan.

“Di Malaysia, Parlimen kita lulus banyak usul sekurang-kurangnya tiga usul membantah apa yang berlaku di Gaza. Perkara ini kita patut lakukan setiap masa supaya dunia mendengar dan Parlimen Malaysia sentiasa menegakkan keadilan.

“Sebab kita percaya satu kaukus tidak akan selesaikan masalah. Tetapi apabila kita selalu bercakap dengan rakan lain di Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Pertubuhan Parlimen Komanwel (CPA) boleh yakinkan semua Ahli Parlimen luar negara.

“Yakinkan mereka mengenai pelan damai ‘Deal of the Century’ bukanlah perjanjian tetapi ‘fraud’ (penipuan) oleh Amerika Syarikat (AS). Justeru, kita tak boleh harapkan media Barat sahaja,” katanya. – BH Online

Loading...