Setiap Kerajaan Mahukan Tok Pa

SIAPA masih ingat kisah Dr. Maszlee Malik letak jawatan Menteri Pendidikan pada Januari 2020.

Kecoh juga masa itu. Siapakah akan menggantikan beliau? Sebenarnya ramai sahaja boleh dilantik.

Tetapi nama Tok Pa yang kerap dibangkitkan. Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bukan sahaja dalam kalangan penyokong kerajaan, Majlis Profesor Negara turut mencadangkan beliau.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan kerajaan BN, P. Kamalanathan juga mengesyorkan Tok Pa.

Apa kelebihan Tok Pa ini? Hinggakan kawan dan lawan politik memandang tinggi beliau begitu sekali.

Sepanjang dalam kerajaan BN, Tok Pa pernah diberi kepercayaan mengetuai enam portfolio kementerian.

Semasa dalam kerajaan PH beliau dilantik Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet Parlimen untuk memantau kementerian berkaitan.

Kini dalam kerajaan PN, Tok Pa diamanahkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Sebuah kementerian berprofail tinggi dalam menentukan hala tuju dan dasar ekonomi negara.

Para wakil ekonomi mahukan beliau. Bidang pendidikan pun menagihkan khidmat Tok Pa.

Ekonomi dan pendidikan dua asas penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Ramai kata Tok Pa ini jenis orang orang bekerja. Ideanya keterhadapan terutama dalam dua bidang itu.

Sebab itu pengetahuan dan pengalamannya ditagih sesiapa pun yang dipilih rakyat sebagai kerajaan.

Mungkin sebab itu Tok Pa sentiasa diberi kepercayaan berada dalam Kabinet sepanjang bersama kerajaan BN.

Mungkin sebab itu Tun M pernah melahirkan rasa gembira kemasukan Ahli Parlimen Jeli itu dalam kerajaan PH beliau.

Mungkin juga sebab itu Tan Sri Muhyiddin Yassin lantik beliau Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri kerajaan PN.

Mungkin mereka tahu Tok Pa iltizamnya berkhidmat untuk rakyat dan negara, maka sentimen politik letak ditangga kedua.

Jika kemungkinan itu ‘real’, Tok Pa memang ‘lejen’. Setiap kerajaan Malaysia mahukan beliau menggalas pentadbiran negara. – Mynewshub.TV