Setelah Najib Tular, Kadar Sewa Kuarters Putrajaya Tidak Naik

PUSINGAN U… Perbadanan Putrajaya (PPj) memutuskan untuk tidak naik kadar sewa kuarters dua blok di Presint 11 milik agensi itu kerana tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan semasa.

Presidennya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim, berkata keputusan dramatik itu berjaya dicapai selepas pihaknya mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

“Selepas bincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, kami buat keputusan untuk tidak naik kadar sewa kuarters Blok F dan G milik PPj di Presint 11, Putrajaya kerana tidak sesuai dalam keadaan semasa,” katanya.

Kenyataan perbadanan tersebut jelas merujuk situasi kecoh netizen setelah tular notis makluman kepada penghuni berhubung kadar baharu sewa kuarters berkenaan tersebar menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Notis pelik tersebut memaklumkan bahawa kadar sewa bulanan bagi unit kuarters berkenaan yang sebelum ini ditetapkan pada kadar hanya RM400 hingga RM500 bakal dinaikkan kepada RM600 hingga cecah RM800.

Baca: PH Naik Sewa Kuarters Penjawat Awam Putrajaya

Kenaikan itu perlu memandangkan kos penyelenggaraan dan pembaikan kuarters yang semakin meningkat dari tahun ke tahun dan kadar sewaan hasil nilaian terkini oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Malahan notis berkenaan memaklumkan bahawa kadar sewaan bagi kawasan sekitar juga mengalami peningkatan.  Kadar baharu tersebut ditetapkan hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan PPj sendiri.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi catatan tular dalam akaun sosial Facebooknya dengan nada kesal mendakwa, kadar sewa kuarters PPj naik berganda dari RM400 kepada RM800 sebulan.

Beliau turut menyertakan dua keping gambar notis makluman kadar baharu sewaan kuarters Blok F (aras 1 hingga 16) ialah RM800, manakala Blok G aras bawah dan aras 1 ialah RM800, aras 2 (RM700) dan aras 3 dan 4 (RM600). – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...