Setelah Dikritik, Denda Hilang Pasport Kurang RM200

TURUN… Ekoran teruk dikritik rakyat, Jabatan Imigresen dilaporkan telah turunkan kadar denda kehilangan pasport sebanyak RM200 bagi semua kategori dan boleh dikecualikan jika kes jenayah.

Berita gembira itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman ketika ditemui pemberita di Akademi Imigresen Malaysia, Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Malah kadar penalti baharu telah dikuat kuasa sejak 2 Januari lepas sekali gus berbeza dengan Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 yang bertarikh 20 Disember tahun lalu.

Sebaliknya Abdul Halim berkata, denda hanya RM200 dikenakan untuk kes kehilangan pasport kali pertama manakala jika kali kedua denda sebanyak RM500 dan denda RM1,000 pula bagi kehilangan buat kali ketiga.

“Bagaimanapun kehilangan akibat jenayah kecurian, rompakan, kebakaran atau bencana tertentu dikecualikan denda dengan syarat, pemegang pasport tersebut perlu buat laporan polis sebelum ganti kepada yang baharu.

“Kes kehilangan pasport meningkat setiap tahun. Jadi denda yang dikenakan itu adalah kerana kita mahu pemegang pasport sentiasa jaga pasport mereka dengan lebih rapi, berhati-hati dan bertanggungjawab,” kata Abdul Halim.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29 Siri 1 Tahun 2019 melibatkan 220 peserta dengan 151 orang lelaki dan 69 orang wanita.

Baca: Dulu Ganti Pasport Hilang ‘Free’, Kini Denda RM1,200

Sebelum ini, warta itu kenakan denda RM400 bagi kehilangan kali pertama, RM700 untuk kali kedua dan RM1,200 pula jika kali ketiga manakala kanak-kanak bawah 12 tahun masing-masing RM300, RM600 serta RM1,100.

Kadar tersebut cetus kritikan pelbagai pihak kerana lebih tinggi berbanding denda kes hilang Mykad oleh Jabatan Pendaftaran Negara, bahkan tidak pernah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional selama 60 tahun ia berkuasa.

Mengulas dengan lebih lanjut Abdul Halim berkata, jabatan tersebut merekodkan sebanyak 83,617 kes kehilangan pasport pada sepanjang tahun lepas berbanding 75,600 kes sahaja pada 2017 dan hanya 44,528 kes pada 2016.

“Melihat kes ini naik setiap tahun, maka ia perlu kepada peraturan ketat kerana ia babitkan dokumen keselamatan negara,” katanya. Antara alasan kehilangan pasport ialah hilang dalam simpanan, tersalah letak serta tercicir.

“Pasport ini perlulah disimpan di tempat yang selamat,” kata Abdul Halim dan menambah sehingga akhir Disember tahun lepas, sebanyak dua juta pasport telah dikeluarkan pihak jabatan tersebut di seluruh negara.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional, Datuk Seri Mustafar Ali; Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Akademi, Jasmi Juwahir.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim berkata sebanyak 14,724 operasi dijalankan penguat kuasa jabatan itu di seluruh negara dengan 191,218 orang warga asing diperiksa sepanjang tahun lepas. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...