Setahun PH: Annuar Musa Senarai 15 Kegagalan

KUALA LUMPUR – Bersempena ulang tahun pertama peristiwa bersejarah 9 Mei 2018, pasti ramai yang mula melihat kembali prestasi Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menjual harapan kepada rakyat Malaysia setahun lalu.

Tidak ketinggalan, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa turut berkongsi penilaiannya terhadap prestasi PH yang dirumuskan beliau sebagai gagal menenuhi jangkaan rakyat.

Bersiaran kira-kira 40 minit melalui aplikasi Facebook Live dalam akaun UMNO Online, ahli Parlimen Ketereh itu turut menyenaraikan 15 kegagalan PH membabitkan isu ekonomi, sosial dan politik walaupun menolak untuk menyatakan sebarang markah bagi prestasi PH.

“Kalau nak dinilai dari sudut PH itu sendiri dan beri markah, saya kalau boleh nak beri markah yang tinggi. Sebab ini kerajaan kita. Kalau markahnya tinggi, kerajaan baik, rakyat pun tumpang senang.

“Tapi (Perdana Menteri, Tun) Dr. Mahathir sendiri hanya beri 50 peratus, jadi susah juga. Takkan saya nak beri markah lebih tinggi daripada Dr. Mahathir,” katanya.

Annuar seterusnya menyenaraikan kegagalan PH mengurus ekonomi negara yang ditandakan dengan kejatuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan hutang rasmi negara, kejatuhan nilai pasaran saham dan kegagalan kerajaan menambah baik kesejahteraan ekonomi rakyat.

Sementara itu, dari segi sosial pula, PH dilihat gagal apabila membenarkan kebangkitan fahaman sosialisme dan liberalisme; membiarkan pengaruh Syiah menular dan pendakwaan kes rasuah terpilih.

Akhir sekali, kegagalan PH dari sudut politik ditandakan dengan prestasi anggota Kabinet yang lemah; penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan yang disifatkan seperti Kabinet kedua; persaingan dalaman antara parti komponen PH; serta hubungan badan eksekutif, legislatif dan kehakiman serta hubungan antara kerajaan dengan istana yang renggang.

Beliau turut membangkitkan isu pertindihan kuasa antara Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Perdana Menteri dan Majlis Penasihat Kerajaan yang menyebabkan urusan penggubalan dan pelaksanaan dasar ekonomi di negara ini berkecamuk selain menegur sikap ‘bakal Perdana Menteri Kelapan’, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sementara Perdana Menteri membuat pendekatan, bakal Perdana Menteri Kelapan memberi signal-signal yang berbeza daripada Perdana Menteri. Sama ada dalam bentuk mengumumkan dia akan ambil alih atau memberi komen pekerjaan yang dilakukan Perdana Menteri.

“Sepatutnya PH, ketika Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri, yang lain tutup mulut dan sokong dari belakang Dr. Mahathir,” katanya. – UTUSAN ONLINE