Setahun Pemerintahan PH, Rakyat Merasa Tertipu

KUALA LUMPUR – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu disebabkan rakyat terpesona dengan 60 janji manifesto parti itu.

Janji yang diletakkan bawah lima teras utama dalam Buku Harapan, bagaimanapun gagal ditunaikan secara total sebaik mencapai genap setahun pemerintahan PH.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat secara sedar tidak pernah tahu apa isi kandungan dalam Buku Harapan itu.

“Selain 60 janji teras, rakyat juga turut terpikat dengan 10 janji 100 hari yang ditabur PH.

“Tetapi, usahkan 10 janji dalam masa 100 hari, genap setahun pun janji ini masih gagal ditunaikan. Apakah salah untuk rakyat merasa tertipu?

“Jawapannya ada dalam diri antara kita sebagai rakyat yang hidup dalam era pemerintahan DAP-PH atau era pemerintahan bangsa DAP yang menafikan banyak perkara berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera,” katanya hantaran Facebook beliau, semalam.

Ismail Sabri yang merupakan ketua pembangkang berkata, sebelum ini semua agama boleh diamalkan dengan aman dan kadang-kadang wujud penghinaan antara penganut secara terbuka sehingga tindakan segera diambil.

Namun, katanya, kini penghinaan agama dilakukan secara terbuka khususnya kepada Islam sehingga Nabi Muhammad SAW pun dihina.

“Rakyat dididik dengan menghormat semua kaum, tapi mutakhir ini jelas dalam pemerintahan DAP-PH pihak yang lantang mengeluarkan penghinaan kepada kaum lain dan Institusi Raja-Raja makin berani dan bertambah jumlahnya.

“Ini boleh dilihat tindakan pendakwaan terpilih berlaku apabila hanya pengkritik kerajaan yang ditangkap dan didakwa.

“Sudah pasti aktivis masyarakat yang menyuarakan kerisauan rakyat menjadi tumpuan dan mangsa pendakwaan terpilih kerajaan DAP-PH, manakala penghina agama dan Raja-Raja masih bebas dan semakin berani,” ujarnya.

Katanya, blok pembangkang di Parlimen sentiasa berjuang dan membawa permasalahan rakyat khususnya luar bandar yang terkesan dari polisi serta dasar kerajaan DAP-PH.

Kata beliau, dasar menghapuskan segala bentuk bantuan dan skim yang selama ini banyak membantu dan meringankan bebanan dari kos sara hidup.

Beliau menjelaskan, bantuan sara hidup nelayan dikurangkan dari RM300 kepada RM200 sebulan, penoreh getah tiada lagi bantuan ‘one-off’ RM500 ketika harga menjunam.

Begitu juga peneroka Felda, walaupun dijanjikan untuk dihapuskan hutang, tetapi masih kekal dan keadaan lebih membebankan bila harga sawit jatuh menjunam.

“Bantuan pelajar setiap kali buka sesi persekolahan RM100 tidak lagi diteruskan. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diperkecilkan jumlahnya.

“Setelah ditekan dan diperjuangkan oleh pembangkang, kerajaan PH terpaksa akur dengan meneruskan dasar yang ternyata baik ini, tetapi dengan jumlah dikurangkan.

“Apakah ini yang rakyat mahukan? Dalam keadaan komoditi yang menjunam, rakyat lebih bertambah bebanan dan penderitaan apabila harga barang terus meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...