Setahun Kerajaan PH, Penoreh Masih Merintih

ARAU – Esok, genaplah setahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas berjaya menamatkan penguasaan 60 tahun Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lalu.

Sejak daripada itu, rakyat ternanti-nantikan sebuah kerajaan baharu yang lebih baik khususnya dalam aspek membela kebajikan mereka.

Namun perubahan yang diharapkan itu masih tidak dapat dirasai khususnya oleh golongan penoreh getah yang merasakan kehidupan mereka lebih tertekan.

Malah bantuan dan inisiatif yang diterima juga semakin berkurangan berbanding dahulu.

Apa yang diharapkan para penoreh getah ini bukan sekadar bantuan semata-mata, sebaliknya kerajaan dapat mengawal harga komoditi itu agar tidak terus jatuh selain dapat menetapkan harga lantai getah sebanyak RM3 dan ke atas.

Bagi seorang penoreh, Amirul Muslimin Azizan, 33, setakat ini, harga getah masih kekal RM2.40 sekilogram sekali gus menyebabkan kehidupan penoreh terus terhimpit.

Katanya dari Kampung Katong di sini, sepanjang setahun pemerintahan kerajaan PH, dia tidak nampak sesuatu yang baharu dilaksanakan untuk membantu para penoreh ini.

“Sekarang tiba musim hujan pula, jadi dalam setahun ini, kami boleh turun menoreh dalam lima ke enam bulan sahaja.

“Jika harga lantai ditetapkan tinggi sedikit, ia sekurang-kurangnya mampu membantu golongan penoreh getah ini,” katanya.

Seorang lagi penoreh, Hazmi Isa, 34, pula berkata, dia terpaksa melakukan beberapa pekerjaan selepas hasil menoreh tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Jika harga lantai getah dinaikkan, saya percaya ia akan banyak membantu golongan penoreh ini. Sekarang ramai melakukan pelbagai kerja berikutan tidak cukup dengan pendapatan hanya sebagai penoreh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...