Set Hidangan Bento Paling Mahal Di Dunia

NIKKO – Sebuah restoran Jepun kini menawarkan set hidangan bento paling mahal di dunia dikenali sebagai Nikko maizoukin atau bento harta karun Nikko yang berharga 180,000 yen (RM6,600), lapor akhbar Daily Mail.

Hidangan tradisional dengan sentuhan istimewa itu ditawarkan restoran Nikko Masuzushi Honpo di sini tetapi hanya untuk tempahan awal oleh pelanggannya.

Bento tradisional biasanya disertakan dengan nasi atau mi, ikan atau daging berserta jeruk dan sayur dimasak. Bento mewah daripada restoran itu pula menawarkan kaviar Beluga Rusia, isi king crab, udang dan kepingan emas boleh dimakan.

Selain itu, hidangan mewah itu disertakan masuzushi atau sushi ikan trout, karamusi atau telur ikan belanak masin, nasi daripada beras tempatan, hirisan daging lembu Jepun dan kulit tauhu bersama kaviar dan kepingan emas.

Kotak dan penyepit untuk set bento tersebut juga diukir menggunakan tangan mengikut hasil seni dari abad ke-17 khusus di wilayah Nikko, menggunakan kayu pokok magnolia atau berangan. – Agensi

Loading...