Serangan Christchurch: Suspek Mengaku Tidak Bersalah

CHRISTCHURCH – Suspek utama kes pembunuhan beramai-ramai membabitkan dua buah masjid di Christchurch mengaku tidak bersalah hari ini atas beberapa tuduhan membunuh dan aktiviti keganasan serta akan dibicarakan pada tahun depan.

Hadir di Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi rangkaian audio visual dari penjara kawalan ketat di Auckland, Brenton Tarrant hanya mendiamkan diri ketika peguamnya, Shane Tait memberitahu bahawa tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Lelaki yang mendakwa dirinya pelampau kulit putih itu menerima 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan terbabit dalam aktiviti keganasan susulan tragedi pembunuhan beramai-ramai di bandar South Island pada 15 Mac lalu.

Rakyat Australia berusia 28 tahun tersebut bertindak melepaskan tembakan rambang di masjid al-Noor yang ketika kejadian dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat Jumaat sebelum meneruskan perbuatan sama di masjid Linwood.

Ketika kejadian berlaku, tertuduh turut menyiarkan perlakuan kejam berkenaan secara langsung di laman media sosial Facebook.

Mahkamah juga diberitahu bahawa pemeriksaan mental ke atas tertuduh mendapati dia sihat untuk menjalani perbicaraan bagi tragedi pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah moden New Zealand itu.

“Tiada sebarang isu ditimbulkan berhubung kesihatan mental tertuduh untuk menjalani perbicaraan,” kata Hakim Cameron Mander dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas sesi pendengaran berkenaan.

Kira-kira 80 jemaah yang terselamat dan ahli keluarga mangsa turut hadir memenuhi galeri awam mahkamah untuk melihat kelibat Tarrant.

Hakim Mander menetapkan 4 Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan manakala Tait berkata, ia dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam minggu.

Tarrant berada dalam tahanan sementara menanti tarikh 15 Ogos untuk hadir semula di mahkamah bagi menghadiri sesi penilaian kes.

Mander juga melarang semua agensi berita dari merakam foto atau video penampilan Tarrant dan mengarahkan mereka menggunakan imej dari sesi pendengaran terdahulu iaitu pada April lalu. – Agensi

Loading...