Serangan Christchurch: Rahimi Tunjuk Tindak Balas Positif

MANGSA tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad sudah tidak bergantung kepada bantuan alat pernafasan.

Dia kini dirawat di wad biasa sejak kelmarin seperti dimaklumkan abang Rahimi, Rosdi Ahmad, 42, yang kini masih berada di Christchurch untuk memantau perkembangan keluarga mangsa.

Menurutnya, Rahimi, 39, menunjukkan tindak balas positif apabila semua tiub di badan dibuka dengan semua perkembangan dipantau rapi pihak berkuasa New Zealand.

“Rahimi mula menjalani sesi fisioterapi bagi membantu perkembangan pergerakan kaki kanannya.

“Kami menerima lawatan pihak kerajaan Malaysia dan New Zealand dari semasa ke semasa,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Minggu lalu, Rahimi dilaporkan stabil dan mula menunjukkan tindak balas dengan menggerakkan jari selepas dibedah bagi mengeluarkan dua peluru.

Selain Rahimi, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan itu ialah Mohd Tarmizi Shuib, 42, dari Alor Setar, Kedah dan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor.

Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Selain itu, Allahyarham Mohd Haziq, 17, anak kedua Mohd Tarmizi terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor.

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain termasuk tiga rakyat Malaysia, jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan) pada 16 Mac lalu. – myMetro Online