“Serang Saya, Bukan Serang DPMM,” Najib Bidas Khalid

PETALING JAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak tampil mempertahankan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berhubung isu tawaran tanah Kampung Baru, mengatakan menteri Wilayah Persekutuan tidak patut menyerang pertubuhan itu.

Bekas perdana menteri itu tidak berpuas hati Khalid Samad “perli” DPMM dalam kenyataan rasmi kerajaan sedangkan niatnya cuma mempertahankan hak pemilik tanah.

“DPMM bukan parti politik dan bukan ahli politik, kenapa pula kau serang mereka? Seranglah saya,” katanya di Facebook hari ini.

DPMM pada Selasa mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu membeli tanah Kampung Baru pada harga RM850 sekaki persegi, yang menurutnya lebih rendah daripada harga semasa.

Setiausaha Agung Amirhamzah Karim menggesa kerajaan melupuskan konsep menjual tanah rizab Melayu bawah harga pasaran, dan mencadangkan pembelian diurus melalui projek pajakan jangka panjang seperti di Singapura.

Khalid hari ini dilapor mengalu-alukan DPMM mengusahakan tanah di Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi, dan yakin pertubuhan itu akan mampu mendapatkan sokongan kewangan untuk menjayakan pembelian itu.

Menteri juga yakin hasrat DPMM itu mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

Najib mengingatkan Khalid bahawa DPMM sebagai sebuah pertubuhan swasta tidak akan dapat mengumpul dana berbilion ringgit untuk membeli tanah Kampung Baru seperti kerajaan.

Beliau menambah DPMM juga tiada hak untuk menukar syarat-syarat tanah selepas pembelian, dan tiada kuasa untuk membuat kempen pemilikan rumah untuk warga asing sekiranya ada rumah yang tidak terjual.

“Ada faham?” katanya.

“Oh, saya masih menunggu bukti sahih dari kamu bahawa saya pernah tawar harga RM300 satu kaki persegi semasa saya perdana menteri seperti menteri telah tuduh saya berkali-kali,” tambahnya. – FMT

Loading...