Seorang Lagi Guru Lapor Dirogol Pendakwah Selebriti

PETALING JAYA – Polis menerima dua lagi laporan polis terhadap pendakwah selebriti berusia 25 tahun yang ditahan di Shah Alam minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua laporan itu disiasat mengikut Seksyen 377C, Seksyen 354 dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, laporan terbaharu diterima jam 6.28 petang semalam daripada seorang guru berusia 22 tahun yang mendakwa dirogol suspek.

“Kejadian berlaku jam 9 malam pada 22 Oktober lalu selepas suspek mengajak mangsa keluar bersama untuk menyambut hari lahir di sebuah restoran di daerah ini.

“Sebaik selesai makan malam, suspek mengajak mangsa ke rumahnya di Damansara Perdana. Pada mulanya mangsa enggan tapi dipujuk rayu dan dipaksa suspek menyebabkan mangsa akur.

“Ketika di rumah, mangsa dirogol oleh suspek. Mangsa kemudian dihantar pulang ke rumah pada keesokannya selain turut diugut untuk tidak menceritakan kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami tekanan perasaan serta trauma,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bertindak atas laporan itu, Nik Ezanee berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Portal Harian Metro malam tadi melaporkan, seorang guru pula tampil membuat laporan mendakwa menjadi mangsa rogol pendakwah selebriti yang ditahan polis di Shah Alam minggu lalu.

Wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Damansara ke atas suspek. – myMetro Online