SETIU – Seorang guru yang baru pulang bercuti ke kampung halaman di sini awal pagi ini, dikhuatiri lemas selepas dia dilaporkan hilang dibawa arus ketika sedang mandi di sungai bersama adik dan dua rakan mereka di Kampung Buluh di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Supt Zulkifli Mat Deris berkata kejadian berlaku ketika Abd Rauf Mohd Zulkarnain, 27, guru di Sekolah Kebangsaan Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur dikatakan sedang mandi di sungai bersama adiknya Abd Wafi,17, dan dua rakan mereka kira-kira 3 petang.

“Dia dipercayai dibawa arus pada jarak 400 meter daripada jambatan Kampung Buluh. Dia dikatakan sering mandi di sungai itu setiap kali pulang ke kampung,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, rakan Abd Rauf, Zulzakir Zamaruddin, 17, berkata beliau tidak menyangka kejadian buruk akan menimpa Abd Rauf kerana mereka sememangnya sering mandi di sungai itu sejak kecil lagi.

Beliau berkata semasa kejadian, mereka berempat bertindak terjun dari jambatan Kampung Buluh dan berenang menyusuri sungai sebelum Abd Rauf dibawa arus.

“Semasa kami berenang dua daripada rakan kami naik ke tebing terlebih dahulu, saya pula naik tidak jauh dari rakan sebelum itu. Namun kelibat Rauf tidak kelihatan. Adik Rauf kemudiannya pergi ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,” katanya. – BERNAMA

Loading...