Bekas Renjer Maut, 5 Polis Cedera Ditembak

PATTANI – Seorang bekas Renjer maut manakala lima anggota polis cedera ditembak individu tidak dikenali dalam dua insiden berasingan di wilayah bergolak, Pattani dan Narathiwat di selatan Thailand.

Ketua Polis daerah Muang di Pattani Kol Kirati Waeyusuf berkata bekas anggota Renjer itu dikenali sebagai Mahamad Ruding Misa, 38, yang mati ditembak di Kampung Kenya, daerah Muang kira-kira pukul 12 tengah hari tadi (waktu tempatan).

“Mangsa ditembak di bahagian kepala dan badan. Polis turut menemui tujuh kelongsong peluru 9mm di sisi mayatnya,” katanya kepada pemberita hari ini dan menambah, polis percaya dua individu terlibat dalam kejadian itu.

Mangsa ditembak mati ketika sedang menaiki motosikal di kawasan kampung berkenaan.

Sementara itu dalam kejadian kedua di Resak, Narathiwat, tiga anggota polis sempadan cedera akibat ditembak sekumpulan individu tidak dikenali ketika sedang meronda menggunakan kenderaan trak pikap.

Penolong ketua polis siasatan daerah Resak Kapt Marud Nikosi berkata serangan itu berlaku di Kampung Samakki di daerah Resak kira-kira pukul 11 pagi. (waktu tempatan). – BERNAMA

Loading...