Sengaja Sembunyi Maklumat COVID-19 Berdepan Denda, Penjara

KUALA LUMPUR – Perbuatan sengaja menyembunyikan maklumat penting berkenaan COVID-19 sehingga menimbulkan risiko terhadap kakitangan hospital serta fasiliti perubatan akibat sentuhan, merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tindakan individu yang mengetahui beliau telah dijangkiti wabak ini tetapi berada di tempat awam, juga merupakan satu kesalahan mengikut akta itu.

Bagi membendung kejadian sama daripada terus berleluasa dan memberi pengajaran kepada masyarakat, laporan polis boleh dibuat terhadap mereka ini, kata pengamal undang-undang.

Berkongsi pendapat mengenai perkara ini, Presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir berkata, seseorang yang menyembunyikan maklumat penting, jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.   

“Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita bahawa ada sesetengah pihak yang cuba menyembunyikan maklumat penting dengan niat salah daripada pengetahuan pihak hospital ketika pemeriksaan dijalankan terhadap mereka.

“Ada beberapa pihak yang enggan menyatakan maklumat yang boleh membantu pihak hospital dan pihak berkuasa dalam menangani wabak COVID-19 ini daripada penyebaran secara meluas. 

“Maklumat penting seperti sejarah perjalanan luar negara, lebih-lebih lagi ke negara yang terjejas teruk dengan wabak COVID-19 dan juga maklumat perhubungan, sentuhan serta berada dalam kelompok orang yang telah disahkan positif COVID-19, ini sangat berguna dan mampu menyelamatkan seseorang pesakit itu dengan kadar rawatan yang segera dan bersesuaian.

“Selain itu, maklumat sebegitu dapat membendung penularan wabak COVID-19 terhadap orang awam secara amnya,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Salim berkata jika ada keadaan apabila seseorang itu mempercayai bahawa dia telah dijangkiti, maka dia tidak seharusnya bergaul, atau berada di dalam kumpulan sosial di kawasan awam.

Menurut beliau, jika perkara ini berlaku, maka individu terbabit dianggap melanggar Seksyen 12 akta sama.

Turut senada dengan Salim ialah peguam M. K. Thas yang juga menasihati kakitangan hospital supaya membuat laporan polis sekiranya mereka berdepan dengan individu berkenaan.

“Para doktor, jururawat dan kakitangan hospital selaku petugas barisan hadapan terdedah kepada risiko jangkitan wabak ini, justeru mereka harus melaporkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang didapati menyembunyikan maklumat mengenai sejarah hubungan dengan individu yang dijangkiti COVID-19.

“Kita tidak mahu kes seperti yang berlaku di sebuah hospital di Kedah baru-baru ini berulang apabila tindakan seorang pesakit yang tidak memberitahu pihak hospital bahawa dia pernah ada kontak rapat dengan individu positif COVID-19 menyebabkan hospital itu terpaksa ditutup dan para petugas hospital yang merawatnya terpaksa dikuarantin serta perlu mengambil ujian COVID-19,” katanya.

Tambah Thas, tindakan membuat laporan polis adalah perlu sebagai peringatan keras kepada mana-mana pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menyembunyikan sebarang maklumat penting yang boleh membantu pihak Kementerian Kesihatan mengekang penularan wabak itu.

“Pada masa ini, doktor dan jururawat kita sedang bertungkus-lumus merawat dan menyelamatkan pesakit COVID-19, janganlah kita pentingkan diri sendiri kerana perbuatan kita itu boleh mengancam nyawa pasukan perubatan ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah hospital swasta di Sungai Petani, Kedah, terpaksa menutup operasi selama dua hari bagi proses pembersihan dan pembasmian kuman berikutan seorang pesakitnya dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan dijangkiti COVID-19.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh hospital itu, pesakit wanita berkenaan tidak memberikan pendedahan penuh semasa proses pemeriksaan di hospital dan dirawat di wad biasa, menyebabkan kesemua kakitangan yang bersentuhan dengan pesakit itu dikuarantin bagaimanapun diuji negatif bagi COVID-19.

Loading...