Senario Politik Di Perak Bukan Krisis Dalaman Parti

ALOR SETAR – Senario politik yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak ketika ini bukanlah kemelut dalaman parti atau pun cubaan untuk menumbangkan Menteri Besar, sebaliknya mungkin suatu usaha untuk menukar kerajaan sedia ada kepada Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berpandangan bahawa tidak ada mana-mana pun kepimpinan PH di negara ini termasuk di Perak, yang sanggup melakukan sesuatu yang akan menjejaskan kedudukan parti sebagai kerajaan yang memerintah.

“Kita kena faham UMNO sekarang jadi pembangkang jadi dalam senario politik di Perak mungkin ada usaha bukan nak tumbangkan Menteri Besar tapi tukar kerajaan balik kepada sisa-sisa BN, saya tidak pastilah BN wujud ke atau tidak lagi.

“Sebab itu saya tidak terlalu bimbang kononnya berlaku keretakan hubungan keempat-empat parti komponen di Perak, saya yakin setiap kepimpinan yang ada di Perak termasuklah Menteri Besar sendiri begitu komited mengukuhkan perpaduan dalam PH Perak,” katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada program ‘Back To School’ Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai situasi politik Perak di mana Anggota Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari, yang didakwa merancang untuk membuat undi tidak percaya bagi menjatuhkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Menyifatkan bahawa suhu politik di Perak masih dalam keadaan stabil, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata beliau amat yakin dengan kepimpinan Ahmad Faizal dalam menguruskan situasi itu secara berdiplomasi.

“Keupayaan Menteri Besar Perak menguruskan keadaan itu sangat berdiplomasi, cara beliau mengendalikan belanjawan mendapat sambutan baik semua pihak jadi saya tidak nampak yang ianya akan timbulkan masalah baik dalam jangka pendek atau panjang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kesepakatan yang sedia wujud antara keempat-empat parti komponen PH mestilah sentiasa dipelihara agar tiada pihak yang berjaya menganggu-gugat mana-mana kerajaan PH termasuk di Perak. – BERNAMA

Loading...