Senarai Penceramah: JAKIM Sambut Baik Tindakan Jabatan Penyiaran

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik usaha Jabatan Penyiaran Malaysia mengeluarkan senarai penceramah yang diutamakan untuk bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula Januari depan.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata usaha RTM itu dapat memastikan penyampaian tiga teras utama pengurusan hal ehwal Islam di negara ini iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Manhaj Malaysia bergerak secara harmoni.

“JAKIM juga ingin memaklumkan dan menasihatkan supaya penceramah yang akan ke udara di stesen-stesen televisyen dan radio supaya mendapatkan tauliah daripada Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri bagi memastikan segala urusan dan peraturan sedia ada terus dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Penyiaran Malaysia menjelaskan setiap penceramah yang dipilih untuk bersiaran di televisyen dan radio RTM perlu mendapat tauliah daripada JAKIM.

Justeru, surat berkaitan senarai nama penceramah atau asatizah untuk rancangan keagamaan (Islam) di RTM yang tular di media sosial itu hanya bertujuan memaklumkan mengenai cadangan penceramah yang diluluskan oleh JAKIM dan tiada kaitan dengan mana-mana parti politik atau orang perseorangan.

Terdahulu, surat yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memaklumkan senarai nama yang telah dipersetujui Menteri Gobind Singh Deo untuk siaran televisyen dan radio RTM.

Surat tersebut turut menyenaraikan nama penceramah terbabit yang diterima daripada Pegawai Tugas-tugas Khas (Bahagian Agama) Jabatan Perdana Menteri.

Surat berkenaan juga memaklumkan Jabatan Perdana Menteri telah membuat tapisan dari segi kelulusan, kelayakan, kepakaran dan mentauliahkan kesemua penceramah berkenaan. – BERNAMA

Loading...