Semua Sekolah Di Selangor Ditutup Hingga Jumaat

SHAH ALAM – Semua sesi persekolahan di sekolah awam dan swasta di negeri Selangor akan ditutup sehingga Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan cuaca jerebu yang sedang berlaku di semua daerah di negeri ini.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan media semalam memaklumkan keadaan jerebu dijangka akan berterusan sehingga minggu depan.

“Jabatan Meteorologi memaklumkan semua stesen pemantauan kualiti udara menunjukkan bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri Selangor dengan ini mengarahkan semua sekolah awam dan swasta ditutup pada tarikh dinyatakan,” tulis kenyataan itu.

Menurutnya, pendedahan terhadap jerebu yang berpanjangan akan meningkatkan risiko terhadap kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru serta wanita mengandung.

Katanya, arahan dikeluarkan setelah mengambil kira tahap pendedahan yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah sistem respiratori dan keselamatan pelajar.

“Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing berhubung penutupan ini dengan kadar segera.

“Penutupan sementara sekolah akibat cuaca jerebu ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan murid tidak terjejas.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memantau perkembangan kualiti udara dan sentiasa berhubung dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkaitan tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil ketika cuaca negara sedang dilanda bencana jerebu,” katanya.

Loading...