Semua Pihak Perlu Berganding Bahu Perangi Dadah

KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengajak semua pihak agar terus berganding bahu memerangi penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh nombor satu negara.

Mohd Azis berkata masalah dadah bukan masalah orang lain sebaliknya juga masalah kita sendiri kerana ada kemungkinan gejala dadah itu turut melibatkan anggota keluarga kita sendiri.

“Penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak akan mampu mengawal situasi ini. Perang ke atas penyalahgunaan dadah ini, baik dari sudut pencegahan, rawatan dan pemulihan, perlu mempunyai kesinambungan dalam skala yang lebih besar.

“Pengharaman sebarang bahan yang mempunyai elemen ketagihan perlu sentiasa didokong oleh semua pihak walaupun ada gesaan melonggarkan pengharaman ini demi manfaat pengkomersilan,” katanya sempena Seminar Interaktif Smart Sharing Programme (SHARP): Penyalahgunaan Bahan dan Kaunseling Pemulihan Peringkat Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Teks ucapan Mohd Azis dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Izhar Abu Talib. Seminar anjuran Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama AADK itu dihadiri 450 peserta yang terdiri daripada wakil penjawat awam, anggota keselamatan seperti tentera, polis dan penuntut UMS.

Menurut Mohd Azis, pengharaman sebarang bahan yang mempunyai elemen ketagihan berkenaan perlu didokong semua pihak dan bukannya melonggarkan pengharamannya kerana impak dadah terhadap gejala sosial, kesihatan dan ekonomi tidak dapat diukur dengan timbal balik keuntungan daripada pengkomersialannya.

Beliau turut mengakui isu menangani masalah penyalahgunaan dadah sebagai tugas sukar kerana ia melibatkan elemen pergantungan penagih terhadap dadah.

Bagaimanapun, sekiranya penggunaan dadah di negara ini dapat dikurangkan maka permintaan terhadap bahan terlarang itu juga akan menurun sekaligus menjejaskan peringkat pembekal dadah.

“Secara teorinya, jika kita berjaya mengurangkan penggunaan dadah di negara ini, secara tidak langsung bekalan dadah akan berkurangan kerana ia tidak lagi dilihat sebagai perniagaan yang mengutungkan oleh pengedar dadah,”katanya. – BERNAMA

Loading...