Semua Petugas Barisan Hadapan Dapat RM300

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian bantuan secara sekali bayaran berjumlah RM300 kepada semua petugas barisan hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perkara itu selepas mengambil kira pandangan semua pihak dan mendengar cadangan ramai Ahli Parlimen yang berbahas.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Masa pembentangan Belanjawan 2021, saya mengumumkan bantuan ini hanya diberikan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sepanjang perbahasan, saya mendengar cadangan dan pandangan daripada Ahli Parlimen yang berbahas. Sukacita saya umumkan kerajaan bersetuju memanjangkan bantuan ‘one-off- kepada semua petugas barisan hadapan lain,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini. – BH Online