Semua Pelajar Dapat Akses Peranti Digital Menjelang 2025

KUALA LUMPUR – Inisiatif MYDevice di bawah kerangka MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia akan diperkenal untuk memastikan semua pelajar mendapat akses kepada peranti digital bagi tujuan pembelajaran menjelang 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara kerajaan, swasta dan rakyat. 

“Data percuma akan diberikan kepada pelajar daripada kumpulan yang mudah terjejas. Kerajaan menyedari kesukaran yang dihadapi oleh anak-anak termasuk ibu bapa, dalam menghadapi pembelajaran dalam talian. 

“Sebagai rakyat, kita harus bersiap sedia menghadapi gelombang dunia digital dengan penuh bertanggungjawab tatkala merebut manfaat teknologi,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran MyDIGITAL & Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin. – BH Online