Semua Jemaah Haji Malaysia Tiba Di Arafah Malam Ini

MAKKAH – Kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia dijangka tiba di Arafah malam ini waktu tempatan atau awal pagi esok waktu Malaysia, kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Beliau berkata, jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah kira-kira pukul 6 pagi ini waktu tempatan atau 11 pagi waktu Malaysia dan digerakkan lebih awal kerana jalan di sekitar Masjidil Haram akan ditutup pukul 10 pagi ini untuk solat Jumaat hari ini.

“Jemaah haji dihantar dengan tiga kumpulan, pada masa ini sebanyak 25 peratus jemaah haji telah mula bergerak dan 15 peratus telah sampai di Arafah. Alhamdulillah pergerakan jemaah haji berjalan lancar.

“Insya Allah kumpulan  pertama dan kedua berjalan pagi ini, namun kita jangkakan ada jemaah haji dalam kumpulan  ketiga dihantar selepas solat Jumaat pada pukul 2 petang ini,” katanya kepada pemberita setelah melepaskan jemaah haji menuju ke Arafah di Abraj Janadryiah di sini hari ini.

Operasi masyair Tabung Haji (TH) melibatkan 640 petugas  haji kebajikan dan perubatan yang digerakkan lebih awal ke Arafah, Mudzalifah dan Mina.

Ini adalah pergerakan jemaah terbesar atau raksasa bagi menyertai lebih dua juta lagi jemaah dari seluruh dunia untuk berwukuf sebagai rukun kedua ibadah Haji.

Syed Saleh berkata untuk program Safari Wukuf pula, persediaan sedang dilakukan petugas TH untuk membawa pesakit di wad Pusat Rawatan TH Syisyah di sini untuk berwukuf di Arafah.

“Sehingga semalam kita ada 98 pesakit untuk dibawa, tetapi malam ini kita akan memuktamadkan jumlah dan bila jemaah haji ini berkenaan akan dibawa ke Arafah,” katanya.

Loading...