Semua Jawatan UMNO Dipertandingkan – Zahid

KUALA LUMPUR – Semua jawatan dalam UMNO termasuk presiden terbuka untuk ditandingi pada pemilihan parti itu tahun ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau mahu menterjemahkan bahawa beliau dan parti terus mengamalkan demokrasi dalam memilih barisan kepemimpinan.

Katanya, UMNO pernah menyaksikan dua jawatan tertinggi parti sebelum ini tidak ditandingi di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Ketika saya mengambil alih dengan menjalankan tugas presiden, perkara itu dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) dan saya putuskan bahawa jawatan presiden, timbalan dan naib presiden serta semua jawatan terbuka untuk ditandingi.

“Saya mesti terus terjemahkan bahawa saya adalah seorang yang demokrasi dan disebabkan itu, pada pemilihan 2018, jawatan presiden ditandingi tiga orang.

“Kali ini, kalau tujuh orang nak bertanding pun (jawatan presiden), lebih ramai lebih baik,” katanya dalam program temubual “Terus Terang” yang disiarkan secara langsung melalui Facebook NRchanneltv.net.

Menjawab soalan mengenai beliau diasak untuk meletak jawatan, Ahmad Zahid berkata, beliau ialah presiden yang dipilih secara demokratik dan ia perlu dihormati.

Ahad lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata Perhimpunan Agung UMNO 2020 akan diteruskan secara maya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat masih berkuat kuasa.

Beliau dilaporkan berkata, kaedah pelaksanaan perhimpunan yang lazimnya diadakan secara besar-besaran itu akan dimaklumkan kemudian seiring perubahan berikutan pandemik COVID-19.

Mesyuarat pengurusan dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan tetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO bakal diadakan.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada awalnya dijadualkan selama dua hari bermula 30 Januari lalu tetapi ditangguhkan selaras proklamasi darurat dan pelaksanaan PKP.

Sementara itu, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan DAP dan dakwaan jajaran baharu yang didakwa membabitkan DAP itu hanyalah berdasarkan perjanjian keyakinan dan penawaran (CSA), susulan sokongan yang diberikan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak termasuk daripada DAP kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohammad daripada UMNO.

Katanya, CSA itu membolehkan semua ADUN sama ada daripada kerajaan atau pembangkang di negeri itu mendapat peruntukan yang sama rata dan bukan bermakna UMNO bekerjasama dengan DAP.

Ditanya sama ada beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menerima peruntukan yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan, Ahmad Zahid berkata, beliau setakat ini menerima peruntukan RM100,000 bagi tahun ini, manakala Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan RM3.7 juta.

Katanya, jumlah peruntukan yang sama dengan pembangkang itu turut diterima beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO yang lain termasuk Najib (Pekan) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

“Mudah-mudahan terbukalah hati kepada sesiapa yang membuat keputusan untuk memberi peruntukan sama dengan mana-mana Ahli Parlimen yang mengundi (menyokong) Belanjawan 2021,” katanya. – BH Online