Semua 8 Jenazah Nahas Basikal Dirempuh Dituntut

JOHOR BAHRU – Kesemua 8 jenazah mangsa rempuhan ketika berbasikal lewat malam telah pun dituntut oleh waris masing masing, dengan jenazah terakhir dituntut sekitar pukul 3.50 petang.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini hari ini susulan insiden tragik awal pagi Sabtu.

Manakala dua mangsa yang kritikal berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16; dan Muhd. Nazri Mahmudi, 13; kini sedang dirawat dan dipantau oleh pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ayub dalam pada itu turut mendedahkan nama mangsa meninggal dunia yang kesemuanya ialah remaja lelaki iaitu Mohd. Azhar Amir, 16; Muhammad Firdaus Danish Mohd. Azahar, 16; dan Haizad Kasrin, 16.

Juga Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14; Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzuwan Azzuraimee, 14; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 13; dan Fauzan Halmijah, 13.

Mangsa lain yang sedang menerima rawatan ialah Muhd Zulfadhli Yusri, 19; Muhd. Fitri Muhd Fatoni, 17; Mohd. Farham Che Mat, 16; Muhammad Abdul Samad, 16; Muhd. Arif Salman, 15; dan Arasshat Abdullah, 14.

Kumpulan remaja tempatan yang sering berbasikal itu dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita dalam kejadian 3 pagi di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini.

Nahas berdarah itu turut mendapat perhatian Sultan Johor sendiri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitis air mata ketika menziarahi waris di HSA sambil bertitah menasihati ibu bapa agar lebih memantau pergerakan anak.

Ayub menerusi kenyataan itu turut menyatakan bahawa sebarang makluman dan perkembangan terkini mengenai insiden maut tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...