Seminggu Lagi Permohonan Jamin Sokong LTTE

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa pada Oktober tahun lalu atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, perlu menunggu seminggu lagi untuk mengemukakan permohonan jaminan masing-masing.

Ia berikutan ketiga-tiga Mahkamah Tinggi yang mengendalikan kes itu ingin mendengar hujahan sama ada mahkamah itu terikat dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendapati Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berperlembagaan.

Pada 29 November tahun lalu, Mohd Nazlan mendapati Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berperlembagaan kerana ia melepaskan kuasa budi bicara kehakiman daripada mahkamah untuk menilai sama ada perlu atau tidak membenarkan atau menolak jaminan.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Hakim Collin Lawrence Sequerah masing-masing menetapkan 23 Januari ini untuk mendengar hujahan itu, manakala Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 24 Januari ini.

Terdahulu, ketiga-tiga kes itu semalam ditetapkan untuk mendengar permohonan jaminan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaren, 60; ADUN Gadek, G Saminathan, 35, dan Ahli DAP, V Suresh Kumar, 44.

Pada prosiding itu, ketiga-tiga tertuduh selaku pemohon diwakili peguam Ramkarpal Singh, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Saifuddin Hashim Musaimi dan Low Qin Hui hadir bagi pihak responden.

Terdahulu, Mohd Saifuddin berkata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, mengeluarkan kenyataan Pejabat Peguam Negara tidak akan merayu terhadap keputusan Mohd Nazlan itu.

β€œIni bermakna pendirian Peguam Negara adalah Seksyen 13 SOSMA tidak berperlembagaan dan pihak pendakwaan akan mengendalikan permohonan ikat jamin berdasarkan merit seperti ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Ramkarpal berhujah memandangkan pihak pendakwaan tidak membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan, maka Seksyen 13 SOSMA tidak lagi berkuat kuasa kecuali jika ia diketepikan dalam rayuan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Gunasekaren, Saminathan dan Suresh Kumarmasing-masing didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, di sini antara 7 Oktober dan 11 Oktober 2019, pada masa berlainan iaitu 2 petang dan 6 petang.

Bagi kesalahan memberi sokongan, mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Loading...