Seludup Cecair Heroin Dalam Badan Anak Anjing

NEW YORK – Seorang doktor haiwan Colombia dihukum penjara enam tahun kerana menyeludup cecair heroin di dalam badan anak anjing ke Amerika Syarikat.

Andres Lopez Elorez, 39, mengaku bersubahat mengimport heroin dan akan dihantar pulang ke Colombia selepas jalani hukuman, menurut pendakwa raya persekutuan di Brooklyn, New York.

“Elorez bertanggungjawab kerana menggunakan kelebihan veterinarnya untuk menyembunyikan heroin di dalam anak anjing bagi mengimport narkotik berbahaya ke Amerika Syarikat,” kata peguam Daerah Timur New York, Richard Donoghue dalam satu kenyataan.

Menurut pendakwa, Elorez menyewa sebuah ladang di Medellin, Colombia antara 2004 dan 2005, dengan membesarkan anjing dan menjahit beg heroin cair ke dalam badan sembilan anak anjing untuk dieksport ke Amerika Syarikat.

Pada 2005, ejen penguat kuasa undang-undang asing merampas 17 beg heroin cair dengan berat hampir 3 kilogram, termasuk 10 beg yang diekstrak daripada anak anjing itu. Tiga anak anjing mati selepas diserang virus akibat pembedahan, kata pendakwa Amerika Syarikat. – Agensi

Loading...