Seluar Dalam Silika Boleh Rawat Mati Pucuk?

DEDAH… Gelagat spontan Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) menyatakan seluar dalam daripada silika mampu rawat mati pucuk nyata telah gamat sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Bekas Menteri Besar itu secara berseloroh mendakwa, berdasarkan satu kajian dibacanya sebelum ini dapati seluar dalam yang diproses dengan bahan silika itu berupaya dalam usaha pulih daripada penyakit lemah zakar lelaki.

“Saya ada baca satu kenyataan bahawa silika boleh buat underwear (seluar dalam) dan pakaian ini boleh rawat lelaki yang mati pucuk,” katanya dalam nada seloroh sebelum disambut gelak ketawa anggota dewan berkenaan.

Ahmad menyatakan perkara tersebut ketika celah penjelasan diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Exco Terengganu itu terdahulu menjawab soalan asal daripada seorang penyokong kerajaan, Ahmad Shah Mohamed (PAS-Bandar) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri berkenaan di Kuala Terengganu hari ini.

Tengku Hassan kemudian dengan nada senda menyahut celahan Ahmad itu dengan berkata bahawa beliau bersedia untuk bekerjasama dengan ADUN Kijal tersebut berhubung perkara berkenaan.

“Saya akan kerjasama dengan YB (Ahmad) mengenai perkara itu,” katanya seloroh. Ahmad berbuat demikian sebagai susulan kepada jawapan Tengku Hassan mengenai pelbagai kelebihan baju yang diperbuat daripada silika.

Ia dikatakan konon boleh keluarkan satu isyarat ‘unik’ jika si pemakainya berasa tidak sihat atau demam. Lazimnya silika memang boleh serap bau busuk pakaian selain lembap pakaian yang dijemur. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...