Selepas Selangor, Giliran Perlis ‘Bawa Diri’

PETALING JAYA – Selepas Selangor dihanyutkan ke Itali dua hari lalu berikutan dijadikan ‘pulau’ oleh orang ramai di laman sosial, kini giliran Perlis pula untuk membawa diri.

Gurauan itu dibuat di laman Facebook Oh My Media dengan menyingkirkan Perlis daripada peta Malaysia selepas negeri di utara tanah air itu mencatatkan sifar kes Covid-19 semalam.

Menerusi perkongsian tersebut, Perlis dipisahkan daripada jirannya Kedah sebelum membentuk satu kepulauan seolah-olah menjadi identiti negara ataupun negeri yang baharu.

Meskipun status yang dimuat naik itu merupakan gurauan semata-mata namun orang ramai menyambut baik cadangan itu selepas melihat Perlis berjaya mengekalkan keunggulan sebagai negeri mencatatkan kes Covid-19 paling rendah.

Bagi Anne Phang, dia meminta agar negeri Perlis berhati-hati supaya tidak bertembung dengan Selangor yang turut hanyut di lautan baru-baru ini.

“Kali ini Perlis pula terpisah gara-gara takut dengar kempen ‘Road to Perlis’, jangan bertembung dengan Selangor saja di lautan, sebab negeri itu pun terpisah hari itu,” guraunya.

Mohd Afi pula meminta agar orang Perlis menjaga nikmat yang diberikan berikutan sukar untuk mengekalkan sifar kes Covid-19 ketika ini.

“Jaga baik-baik nikmat itu orang Perlis, bukan senang untuk kekalkan sifar kes,” katanya.

Sementara itu, ada juga orang ramai membuat jenaka dengan memohon pihak berkuasa untuk melakukan sekatan di Stesen Sentral Kuala Lumpur selepas mendakwa ramai rakyat akan membeli tiket keretapi ke Perlis.

Semalam, Malaysia memecah rekod baharu dengan mencatatkan sebanyak 11,079 kes dimana Perlis mengekalkan kejuaraan dengan sifar kes. – K! ONLINE