Iraq Masih Tunggu Malaysia Buka Semula Kedutaan

KUALA LUMPUR – Demi kepentingan hubungan dua hala, Iraq berharap Malaysia akan membuka semula kedutaannya di Baghdad tidak lama lagi, kata Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Iraq di Malaysia, Hassan Muhsen Al-Haidari.

Hassan berkata harapan berhubung perkara itu adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini, dengan pemerintahan kerajaan baharu Malaysia.

Perkara itu dizahirkan dalam surat ucapan tahniah yang dihantar oleh Perdana Menteri Iraq, Dr Haider Al-Abadi, kepada rakan sejawatnya dari Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hassan berkata banyak negara telah membuka semula kedutaan mereka selepas Perang Iraq pada 2003, namun Malaysia, yang mempunyai hubungan sejak dahulu lagi dengan Baghdad, belum mengikut jejak langkah negara-negara lain.

Dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkata Malaysia telah tiga kali menghantar delegasi ke Iraq sejak 2014 untuk menilai situasi di Baghdad, namun setakat ini tidak membuahkan sebarang hasil.

Menurut satu laporan, Malaysia menutup kedutaannya di Baghdad pada Mac 2003 semasa perang meletus.

Hassan berkata ramai rakyat Malaysia berminat untuk menjalin hubungan perniagaan di Iraq dan telah membuat pertanyaan di Kedutaan Iraq di sini.

Bagaimanapun, mereka teragak-agak atau menghentikan rancangan itu apabila mengetahui bahawa Kedutaan Malaysia di negara itu telah lama ditutup.

Beliau berkata pembukaan semula kedutaan di negara itu boleh membantu memudahkan hubungan di pelbagai peringkat dan sektor antara Iraq dan Malaysia serta rakyat kedua-dua negara Islam.

Hassan berkata kehadiran Kedutaan Malaysia mampu mempertingkat hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, ekonomi, pendidikan, pelancongan serta kebudayaan dan pada masa yang sama, memperkukuh hubungan rakyat kepada rakyat selain menggalakkan bidang baharu dalam kerjasama.

“Di sini, kami cuba membantu seramai mungkin rakyat Malaysia yang bertanyakan pelbagai perkara berkaitan Iraq seperti peluang-peluang perniagaan dan perdagangan… namun mereka hanya beroleh keyakinan jika dapat berhubung dengan pegawai kedutaan Malaysia. Malangnya, kedutaan itu telah lama ditutup,” katanya.

Ketika ini, kepentingan Malaysia di Iraq diwakili Kedutaan Malaysia di negara jirannya, Jordan. Iraq telah membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada pertengahan 1970-an.

Terdapat 50 kedutaan dan konsulat asing di Iraq.

Dalam konteks hubungan dua hala, Hassan berkata Petronas, syarikat minyak nasional Malaysia, telah beroperasi di Iraq sejak 2010.

Pada 2016, jumlah perdagangan dua hala dianggarkan sebanyak US$1.5 bilion.

Eksport utama Iraq ke Malaysia ialah minyak.

Negara itu mengimport produk dan peralatan terutamanya berkaitan perubatan, minyak sawit serta produk elektrik dan elektronik dari Malaysia.

Hassan berkata syarikat penerbangan negara Timur Tengah itu, Iraq Airways, melakukan penerbangan seminggu sekali dari Baghdad ke Kuala Lumpur sejak 2013,

Bagaimanapun, mulai 2017, ia telah meningkatkan jumlah penerbangan kepada dua kali seminggu, yang merupakan satu manifestasi peningkatan hubungan rakyat kepada rakyat sekali gus membuktikan kepentingan membuka semula Kedutaan Malaysia di negara itu.

Pada 2016, kira-kira 24,000 rakyat Iraq melawat Malaysia dan jumlah itu meningkat kepada 30,000 tahun lepas, satu fakta yang menurut Hassan menguatkan lagi keperluan Malaysia membuka semula kedutaannya di Baghdad.

Terdapat juga kira-kira 300 rakyat Malaysia yang bekerja di Iraq, terutama dalam sektor petroleum dan mempunyai kaitan dengan aktiviti-aktiviti Petronas di negara itu.

Diplomat itu berkata hubungan pendidikan antara kedua-dua negara juga semakin meningkat memandangkan ramai rakyat Iraq lebih gemar melanjutkan pengajian mereka di Malaysia dan setakat ini, kerajaan Iraq telah mengiktiraf 12 universiti Malaysia.

Ketika ini, terdapat kira-kira 3,500 pelajar Iraq di Malaysia.

“Pelajar dan ibu bapa rakyat Iraq akan berasa lebih selamat jika mereka mengikuti saluran kerajaan yang betul, oleh itu, kehadiran Kedutaan Malaysia di Baghdad amat diperlukan,” katanya.

Hassan yakin bahawa jumlah pelajar Iraq yang lebih gemar melanjutkan pengajian mereka di Malaysia akan bertambah sebaik sahaja negara ini memiliki wakil diplomatik di Baghdad.

Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom

BERNAMA

Loading...