Selagi Saya Presiden MCA, Guan Eng Jangan Kacau TAR UC

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Wee Ka Siong mencabar Menteri Kewangan Lim Guan Eng berdebat dengannya berhubung isu dana Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Dalam ucapan pembukaan mesyuarat agung tahunan MCA di ibu pejabat parti itu hari ini, Wee membidas Lim kerana menahan geran padanan kerajaan kepada TAR UC.

“Selagi saya presiden (MCA), saya akan mempertahankan TAR UC. Semua ahli MCA dan anggota masyarakat Cina akan melindungi institusi ini,” kata beliau.

Beliau berkata, sama ada Guan Eng atau bapanya Kit Siang tidak pernah menyumbang walaupun 1 sen kepada TAR UC.

“Janggu ganggu TAR UC,” beliau memberitahu sidang perwakilan di Dewan San Choon di Wisma MCA di sini.

Guan Eng sebelum ini terus mendesak MCA supaya melepaskan kawalan ke atas TAR UC sebagai syarat memperoleh dana RM30 juta daripada kerajaan. Pemimpin MCA bagaimanapun membidas pendirian beliau.

Wee juga berkata, MCA akan meminda perlembagaannya bagi menggalakkan penyertaan ahli daripada kaum lain, selain berharap lebih ramai rakyat Malaysia bukan berketurunan Cina akan menyertai parti itu.

“Biarpun MCA lebih sinonim dengan masyarakat Cina, namun parti ini bersifat terbuka dengan memperjuangkan nasib semua kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, ahli bersekutu diberikan ruang dan peluang untuk berkongsi pandangan demi kepentingan parti, masyarakat dan negara.

Katanya MCA menerima ahli bersekutu sejak awal penubuhannya.

“Saya masih ingat antara ahli bersekutu terawal bersama MCA merupakan seorang lelaki berbangsa India,” kata beliau.

Wee juga berkata, MCA akan mengambil iktibar atas kekalahannya dalam pilihan raya umum tahun lepas dan tidak akan menjadi parti yang ego, angkuh dan “bermulut celupar”.

Katanyanya MCA bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik atas semangat solidariti pembangkang yang berteraskan perlembagaan persekutuan, kepelbagaian dan kesederhanaan. – FMT

Loading...