Sekatan Rentas Daerah, Negeri Kurangkan Kes Covid-19

KUALA LUMPUR – Langkah diambil kerajaan dengan mengawal pergerakan orang ramai dari merentas daerah dan negeri menjadi salah satu sebab berlakunya penurunan kes harian atau jangkitan baharu Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah menyekat rentas daerah dan negeri dilakukan selepas mengambil iktibar susulan peningkatan kes ketika kebanyakan orang ramai terutama yang tinggal di zon merah pulang ke kampung halaman masing-masing penghujung tahun lalu dan awal tahun ini.

Menurutnya, ini menyebabkan kes naik mendadak di beberapa negeri.

“Jika dahulu, sesebuah daerah dikategorikan sebagai zon hijau namun hanya beberapa minggu sahaja, daerah terbabit bertukar kepada zon merah.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa mematuhi arahan kerajaan,” katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, antara penyumbang kepada penurunan kes adalah kepatuhan rakyat yang semakin tinggi kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Kerajaan melihat rakyat di negara ini amat berdisiplin malah sentiasa peka terhadap persekitaran bagi membantu memutuskan rantaian Covid-19 yang sudah melanda negara kita sejak Januari 2020.

“Saya harap trend penurunan ini akan terus menunjukkan perkembangan positif selepas jumlah kes harian positif Covid-19 menurun ke sekitar 2,000 lebih,” katanya. – myMetro Online